Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan Q4 naik 0.5% | DagangNews Skip to main content

Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan Q4 naik 0.5%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPrP) bagi suku tahun keempat 2020 (4Q20) meningkat 0.5% kepada 110.1 berbanding 109.6 pada suku yang sama tahun sebelumnya. 

 

Statistik itu diumumkan Jabatan Perangkaan Malaysia menerusi laporan Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan, Suku Tahun Keempat 2020 yang dikeluarkan hari ini. 

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, subsektor utama yang menyumbang kepada peningkatan indeks itu ialah Penginapan dan Aktiviti Perkhidmatan Makanan & Minuman (1.5%), Aktiviti Hartanah (1.5%), Kesihatan (1.3%), Pengangkutan (0.9%), dan Pendidikan (0.6%). 

 

Bagaimanapun, Kesenian, Hiburan & Rekreasi dan Maklumat & Komunikasi masing-masing menunjukkan penurunan 2.2% dan 0.1%, sementara indeks Profesional tidak berubah, ujarnya. 

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin

 

“Perbandingan suku tahunan menunjukkan penurunan indeks kepada 0.2%. Penurunan ini didorong oleh subsektor Pengangkutan (0.9%), Kesenian, Hiburan & Rekreasi (0.9%), Aktiviti Hartanah (0.2%) dan Pendidikan (0.1%). 

 

“Manakala, subsektor Penginapan dan Aktiviti Perkhidmatan Makanan & Minuman dan Kesihatan masing-masing menunjukkan peningkatan 0.3% dan 0.1%. Indeks Profesional dan Maklumat & Komunikasi adalah tidak berubah,” katanya dalam sebuah kenyataan. 

 

Menurut laporan itu, IHPrP subsektor Pengangkutan meningkat sebanyak 0.9% pada suku sama berbanding 4Q19 disumbangkan oleh indeks Pengangkutan Muatan Udara (3.6%), Aktiviti Pos (3.1%), Aktiviti Kurier (3.1%), Pengangkutan Penumpang Udara (1.7%), Pengangkutan Air Laut & Pesisir Pantai (0.4%) dan Pengangkutan Darat Lain (0.2%).

 

Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan

 

Subsektor Penginapan dan Aktiviti Perkhidmatan Makanan & Minuman pula meningkat 1.5% didorong oleh indeks Restoran & Aktiviti Perkhidmatan Makanan Bergerak (1.8%), Aktiviti Perkhidmatan Minuman (1.0%) dan Katering & Aktiviti Perkhidmatan Makanan Lain (0.2%). 

 

Sementara itu, indeks Aktiviti Penginapan Jangka Masa Pendek menurun 0.3%.

 

Di bawah subsektor Maklumat & Komunikasi, IHPrP menurun sebanyak 0.1% didorong oleh indeks Aktiviti Telekomunikasi Tanpa Wayar (0.2%). 

 

Walau bagaimanapun, indeks Pengaturcaraan Komputer, Perundingan & Aktiviti Berkaitan menunjukkan peningkatan sebanyak 0.1%.

 

“IHPrP bagi subsektor Pendidikan meningkat sebanyak 0.6 % pada 4Q20 berbanding suku tahun yang sama tahun 2019. Peningkatan ini disumbangkan oleh indeks Pendidikan Menengah (3.4%), Pendidikan Tinggi (0.4%) dan Pendidikan Pra-Sekolah & Rendah (0.2%). Indeks Pendidikan Lain tidak mencatatkan sebarang perubahan.

 

“IHPrP bagi subsektor Kesihatan merekodkan peningkatan sebanyak 1.3% bagi perbandingan tahun ke tahun disumbangkan oleh indeks Aktiviti Hospital (1.5%) dan Aktiviti Amalan Perubatan & Pergigian (1.2%). Walau bagaimanapun, Aktiviti Kesihatan Kemanusiaan Lain menurun sebanyak 0.3%.

 

“IHPrP bagi subsektor Kesenian, Hiburan & Rekreasi menurun 2.2% bagi perbandingan tahun ke tahun didorong oleh indeks Aktiviti Perjudian & Pertaruhan (2.7%) dan Aktiviti Hiburan & Rekreasi Lain (0.3%). Namun, indeks bagi Aktiviti Sukan meningkat sebanyak 0.4%,” tambah laporan itu. - DagangNews.com