Inisiatif bantuan tunai bantu ringankan beban kos sara hidup rakyat | DagangNews Skip to main content

Inisiatif bantuan tunai bantu ringankan beban kos sara hidup rakyat

Oleh NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

PEMBERIAN beberapa inisiatif bantuan tunai khususnya kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) adalah antara intipati penting yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai 2023.

 

Antara inisiatif tersebut ialah, tawaran kredit e-tunai kepada golongan dewasa, serta bantuan khas wang tunai kepada penjawat awam dan pesara kerajaan. Kerajaan bersetuju untuk mengagihkan kredit e-tunai RM100 kepada semua rakyat dewasa di negara ini yang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan tahunan RM100,000 ke bawah.

 

Inisiatif ini membabitkan peruntukan sekitar RM1 bilion dan bakal memberi manfaat kepada lebih 10 juta rakyat, merangkumi golongan B40 dan M40 yang sangat terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.

 

Selain itu, bagi menzahirkan manifestasi penghargaan terhadap sumbangan dan kerja keras para penjawat awam, kerajaan bersetuju untuk menyalurkan pemberian bantuan khas sebanyak RM300 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah, termasuk lantikan kontrak.

 

Malah, bantuan khas sebanyak RM200 juga diberikan kepada pesara kerajaan termasuk pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pesara bersara pilihan dan belum menerima pencen, veteran berpencen serta veteran tidak berpencen. Inisiatif ini bakal memberi manfaat langsung kepada lebih 1.3 juta penjawat awam, serta lebih sejuta pesara.

 

Noor Mohamad bin Shakil Hameed
Noor Mohamad Shakil Hameed

 


Ironinya bantuan khas kepada penjawat ini hadir secara mengejut tatkala kerajaan sedang meneliti secara serius proses pelarasan elaun penjawat awam di samping melaksanakan kajian semakan gaji perkhidmatan awam secara keseluruhannya.

 

Semestinya keprihatinan dan penghargaan berterusan pihak kerajaan terhadap nasib dan kebajikan penjawat awam seperti ini akan meningkatkan semangat dan motivasi kerja sekali gus memantapkan kualiti dan proses penyampaian perkhidmatan awam secara keseluruhannya.

 

Secara prinsipnya pemberian bantuan tunai tambahan seperti ini selain bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang sedang giat dilaksanakan diyakini mampu meringankan beban kos sara hidup sekali gus meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan B40 dan M40.

 

Penyediaan inisiatif bantuan tunai kepada golongan terkesan seperti ini dilihat sangat perlu dan wajar setelah mengambilkira keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu serta situasi kenaikan harga barangan dan desakan kos sara hidup yang membimbangkan. Hakikatnya masih ramai yang sedang bergelut untuk menampung perbelanjaan dan meneruskan kehidupan seharian.

 

Bantuan tunai berkonsepkan jangka pendek ini mampu menjadi strategi dan pendekatan terbaik untuk membantu mengurangkan kesengsaraan hidup rakyat secara berfasa dan konsisten, di samping kita menunggu kejayaan penstrukturan, pembangunan dan pemacuan semula ekonomi negara melalui kerangka hala tuju Ekonomi Madani yang antara lain menyasarkan Malaysia menjadi 30 ekonomi terbesar dunia, di samping meningkatkan peratusan pendapatan buruh mencapai 45% daripada jumlah keseluruhan pendapatan.

 

Rakyat perlu memanfaatkan bantuan tunai seperti ini dan pelbagai inisiatif penjanaan pendapatan lain yang disediakan oleh kerajaan untuk meningkatkan kebajikan dan kualiti kehidupan masing-masing. Gunakan secara optimum dan belanja secara berhemat bantuan tunai yang diterima agar kesannya dapat dirasai secara menyeluruh.

 

Dalam konteks ini rakyat perlu mengelak budaya pembaziran dan mengutamakan budaya berjimat cermat supaya dapat memperoleh nilai terbaik untuk wang yang dibelanjakan. Misalnya, utamakan perbelanjaan terhadap barangan dan perkhidmatan keperluan berbanding kemahuan selain mengutamakan produk tempatan berbanding barangan import kerana ini sekali gus akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi domestik.


 

parafrasa

 


Pada masa sama, rakyat juga perlu sedar bantuan tunai seperti ini hanyalah bersifat sementara dan banyak bergantung kepada keadaan kantung kewangan negara. Justeru kita perlu meneruskan usaha dan kerja keras untuk membina ekonomi diri dan keluarga yang lebih teguh dan stabil sebagai sumber pendapatan utama seisi keluarga.

 

Misalnya, golongan miskin tegar dan B40 wajar merebut peluang penjanaan pendapatan yang disediakan melalui projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang fokus kepada strategi serampang dua mata untuk menambah pendapatan rakyat dan pada masa yang sama berusaha menyelesaikan masalah ekonomi harian menerusi inisiatif-inisiatif IPR. IPR menumpukan usaha membasmi kemiskinan dan menambah pendapatan rakyat menerusi inisiatif pertanian, perniagaan makanan dan operator perkhidmatan.

 

Semoga pemberian inisiatif bantuan tunai, pelaksanaan pelbagai projek inisiatif penambahan pendapatan rakyat serta kerangka Ekonomi Madani yang dilancarkan boleh membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat selain memeta hala tuju ekonomi negara yang lebih mapan dan berdaya saing. - DagangNews.com

 

 

Noor Mohamad bin Shakil Hameed adalah Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia