Inisiatif Perniagaan Pintar Theta Edge bakal ubah Ampang Jaya ke arah bandar pintar | DagangNews Skip to main content

Inisiatif Perniagaan Pintar Theta Edge bakal ubah Ampang Jaya ke arah bandar pintar

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Julai – Inisiatif Perniagaan Pintar yang akan dibangunkan anak syarikat Theta Edge Berhad, Theta Telecoms Sdn Bhd bakal menjadi projek peneraju untuk mengubah Ampang Jaya ke arah bandar pintar.

 

Theta berkata, inisiatif tersebut akan memanfaatkan teknologi canggih dalam operasi perniagaan, perkhidmatan awam serta memacu pertumbuhan yang mampan di bawah Kerjasama Awam Swasta. 

 

Kumpulan itu akan melabur RM673.8 juta di dalam projek ini untuk membangunkan IoT Ekonomi Pintar di Ampang Jaya.

 

"Pembiayaan projek ini akan diuruskan oleh Theta menerusi institusi kewangan tempatan. MPAJ sebagai badan berkanun akan memudahcara keperluan pelesenan serta proses pendigitalan pentadbiran majlis secara perkongsian hasil," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia kelmarin, Theta memaklumkan anak syarikat milik penuhnya memperoleh kontrak RM673.8 juta bagi membangunkan, menyediakan dan menyelenggara teknologi Internet Benda (IoT) untuk inisiatif perniagaan pintar di Ampang Jaya.

 

Penyedia perkhidmatan komunikasi dan teknologi maklumat itu mengumumkan kontrak yang dianugerahkan oleh MPAJ itu akan berlangsung selama 240 bulan, dari 15 Julai 2024 hingga 14 Julai 2044.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Anak syarikat Theta Edge peroleh kontrak RM673.8 juta bangunkan IoT untuk perniagaan pintar oleh MPAJ.

 

Sementara itu, Theta akan  bekerjasama  rapat dengan MPAJ untuk menilai dan mengenal pasti penyelesaian bandar pintar terbaik agar transformasi Ampang Jaya untuk menjadi daerah digital bersepadu dapat dilaksanakan dan memastikan ketersediaan teknologi terkini untuk memenuhi keperluan persekitaran bandarmoden yang sentiasa berubah.

 

"Persetujuan bersama ini merupakan suatu langkah utama ke arah Rangka Kerja Bandar Pintar MPAJ. 

 

"Rangka kerja ini merupakan sebuah pelan berwawasan yang telah dibangunkan pada Januari 2022 untuk projek transformasi Ampang Jaya ke arah bandar pintar, dengan tumpuan diberikan kepada Infrastruktur Pintar, Ekonomi Pintar, Komuniti Pintar, Persekitaran Pintar dan Tadbir Urus Pintar," jelasnya.

 

Menurut Theta, kerjasama itu membuktikan usaha MPAJ dalam menjalankan transformasi bandar pintar, selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memacu Selangor ke arah Negeri Pintar menjelang 2025.

 

Ketua Pegawai Eksekutif  Kumpulan Theta, Datuk Nuraslina Zainal Abidin menyatakan syarikat itu akan berada  di  barisan hadapan dalam usaha untuk melaksanakan penciptaan dan inovasi.

 

“Kontrak dengan MPAJ ini membuktikan kepakaran kami dalam teknologi loT dan dedikasi kami untuk memupuk kehidupan bandar melalui inovasi pintar.”

 

“Kami akan  membantu meningkatkan kecekapan operasi majlis secara keseluruhan, meningkatkan mutu perkhidmatan kepada komuniti tempatan serta penciptaan ekosistem perniagaan yang lebih cekap,” ujar beliau.

 

Menurut Yang Dipertua MPAJ, Dr Ani Ahmad, beliau menekankan kerjasama antara dua pihak itu akan memanfaatkan kepakaran sedia ada, memupuk kerjasama dalam merangka strategi optimum untuk melaksanakan bandar pintar serta memastikan MPAJ memenuhi keperluan masyarakat di Ampang Jaya dengan berkesan.

 

“Ampang Jaya akan berkembang seiring dengan kemajuan teknologi. Walau bagaimanapun, untuk mencapai status bandar pintar sepenuhnya mungkin mengambil masa sekitar 10 hingga 15 tahun lagi", tambahnya.- DagangNews.com