Inix ambil alih kilang sarung tangan getah L&S Glove | DagangNews Skip to main content

Inix ambil alih kilang sarung tangan getah L&S Glove

Dari kiri, Pengerusi Inix, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Naib Pengerusi Inix, Datuk Tan Choon Hwa mendengar taklimat daripada Pengarah L&S Gloves, Teo Xiong Sheng mengenai pembuatan sarung tangan getah di kilang L&S Glove di Baranang, Selangor pada 3 November lalu. - DagangNews.com

 

 

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Inix Technologies Holding Bhd (Inix) membeli 51 peratus kepentingan dalam pengeluar sarung tangan getah, L&S Gloves Sdn Bhd (L&S Glove).

 

Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata ia adalah langkah terkini dibuat kumpulan itu untuk memasuki sektor sarung tangan getah.

 

Katanya, Lembaga Pengarah Inix sudah melawat tapak ke kilang milik L&S Gloves di Beranang, Selangor dan selepas berunding, kedua-dua pihak bersetuju untuk menandatangani memorandum perjanjian (MoA) rasmi pada 3 Disember lalu.

 

"Syarikat kami telah aktif meninjau peluang untuk membangunkan perniagaan baharu dan mencipta nilai untuk syarikat dalam tempoh beberapa bulan ini.

 

"Ini termasuk penyertaan kami ke dalam industri sarung tangan getah. Syarikat telah membayar 45% deposit untuk mengambilalih L&S Gloves yang mempunyai dua barisan pengeluaran di kilangnya di Beranang.

 

"Kami percaya pengambilalihan ini akan memberi sumbangan positif kepada keuntungan masa depan kumpulan," katanya dalam kenyataan di sini. 

 

Sementara itu Pengarah L&S Gloves, Teo Yoek Leong, berkata pihaknya berbesar hati kerana akhirnya boleh mengembangkan perniagaan sarung tangan getahnya ke pasaran antarabangsa dan membantu dalam melawan pandemik COVID-19.

 

"Kami akan memastikan yang dua barisan pengeluaran ini akan dapat digerakkan serta merta. Kami merancang untuk mengembangkan pengeluaran sehingga 14 barisan dalam tempoh setahun ini.

 

"Jumlah pelaburan Inix ke dalam projek ini dianggarkan bernilai tidak kurang daripada RM50 juta," katanya. - DagangNews.com