Inix muncul pembekal sarung tangan antarabangsa ‘segera’ | DagangNews Skip to main content

Inix muncul pembekal sarung tangan antarabangsa ‘segera’

(DARI KIRI) Edwin Silvester Das, Siva Kumar Kalugasalam, Syed Mohd Yusof Syed Nasir, Goh Poh Seng dan Tan Choon Hwa.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Dis. – Syarikat teknologi maklumat, Inix Technologies Holding Berhad. (Inix) kini muncul sebagai pembekal sarung tangan antarabangsa.

 

Perkembangan itu berlaku apabila Inix telah menandatangani perjanjian dengan kumpulan pembuatan sarung tangan, World Gloves International Group Sdn. Bhd. (WGI) untuk mengambil alih 51% kepentingan dalam syarikat itu.

 

Menerusi pengambilalihan itu, Inix secara langsung dilantik sebagai pembekal sarung tangan antarabangsa.

 

Pengerusi Inix, Tan Sri Syed Mohd Yusof Syed Nasir berkata, COVID-19 telah mencetuskan peningkatan ketara dalam permintaan sarung tangan global.

 

“Menceburi industri sarung tangan bukan sahaja mewujudkan keuntungan mampan dan stabil kepada syarikat, malah membantu masyarakat untuk menentang pandemik itu.

 

“Ini merupakan pelaburan yang dinanti-nantikan dan bermakna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tandatangan memorandum itu dimeterai dalam sebuah majlis yang berlangsung hari ini. Turut hadir, Pengarah Inix, Edwin Silvester Das; Pengarah Eksekutif Inix, Siva Kumar Kalugasalam; Ketua Pegawai Eksekutif WGI, Goh Poh Seng; dan Naib Presiden Inix, Datuk Tan Choon Hwa.

 

Menurut kenyataan sama, kilang WGI terletak di Petaling Jaya, Selangor.

 

Sarung tangan lateks dan nitril yang dihasilkan dijual sehingga ke Amerika Syarikat (AS), Eropah, India, Jepun dan Korea Selatan.

 

Sementara itu, Choon Hwa berkata, pihaknya akan membayar pengambilalihan kepentingan itu secara tunai dan menerbitkan saham baharu.

 

Ujarnya dalam kenyataan sama, maklumat lanjut berhubung pembelian kepentingan itu akan diumumkan kelak.

 

Dalam pada itu, Siva Kumar Kalugasalam berkata, langkah pengambilalihan itu yang didatangi dengan sijil antarabangsa akan menambahbaik margin syarikat bagi perniagaan sarung tangan seterusnya menyumbang secara positif kepada keuntungan kumpulan.

 

Poh Seng pula berkata, tiga produk sarung tangan utama yang dihasilkan pihaknya menerima sambutan menggalakkan di kebanyakan negara.

 

“Hasil kumpulan mencecah RM10 juta setiap bulan,” katanya.

 

Pada Jumaat lalu, Inix juga telah menandatangani memorandum perjanjian dengan L&S Gloves Sdn. Bhd. (L&S Glove) untuk mengambil alih 51% kepentingan syarikat itu.

 

Dalam makluman kumpulan syarikat itu kepada Bursa Malaysia, L&S Gloves mempunyai dua barisan pengeluaran di kilangnya di Beranang, Selangor dan Inix merancang untuk mengembangkan pengeluaran sehingga 14 barisan pada tahun hadapan.  – DagangNews.com