IPO Kawan Renergy terlebih langganan 94.99 kali | DagangNews Skip to main content

IPO Kawan Renergy terlebih langganan 94.99 kali

Kawan Renergy menyasarkan untuk mengumpul RM33 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 17 Mei - Tawaran awam permulaan (IPO) Kawan Renergy Berhad telah terlebih langgan sebanyak 94.99 kali oleh orang ramai Malaysia menjelang penyenaraiannya di Pasaran Ace Bursa Malaysia pada 29 Mei 2024.

 

Penyedia rumusan kejuruteraan itu berkata, 27.5 juta saham terbitan diperuntukkan bagi orang awam Malaysia menerima sejumlah 23,636 permohonan untuk 2,639,698,700 saham bernilai RM791,9 juta mewakili kadar lebihan langganan 94.99 kali.

 

Bahagian Bumiputeranya pula, 13,047 permohonan untuk 1,156,587,000 saham terbitan diterima, iaitu kadar lebihan langganan 83.12 kali.

 

Bagi bahagian awam, sejumlah 10,589 permohonan untuk 1,483,111,700 saham terbitan diterima, mewakili kadar lebih langganan 106.86 kali.

 

Selanjutnya, 34.5 juta saham sedia ada yang disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Sebanyak 9.3 juta saham yang tersedia untuk permohonan oleh pengarah dan pekerja yang layak, serta individu yang telah menyumbang kepada kejayaan Kumpulan itu telah dilanggan sepenuhnya. 

 

Sementara itu, penempatan swasta sebanyak 63.3 juta saham baru dan 5.5 juta saham sedia ada untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri ("MITI"), dan 29.0 juta saham tawaran jualan yang dibuat tersedia untuk permohonan melalui penempatan swasta kepada pelabur terpilih juga telah dilanggan sepenuhnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kawan Renergy sasar kumpul RM33 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

Kawan Renergy menyasarkan untuk mengumpul RM33 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).

 

Selepas penyenaraian, kumpulan itu akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM165 juta, berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 550 juta saham dan harga IPO sebanyak 30 sen sesaham.

 

M&A Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO.

 

Semenara itu, Pengarah Urusannya, Lim Thou Lai berkata, Kawan Renergy berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang dalam industri peralatan proses industri, yang dipacu oleh permintaan yang semakin meningkat untuk loji tenaga boleh diperbaharui yang lebih tinggi dan loji co-generasi untuk meningkatkan kecekapan tenaga.

 

Kumpulan itu berhasrat menggunakan hasil tersebut untuk memenuhi permintaan peralataan proses perindustrian.

 

"Kami bercadang memperuntukkan RM15 juta (45.5%) daripada hasil IPO bagi menambah modal kerja untuk projek loji penjanaan yang sedang berjalan dengan jangkaan pertumbuhan dalam skala perniagaan kami.

 

"Bakinya akan digunakan untuk membeli jentera tambahan bernilai RM500,000 (1.5%), RM2.5 juta (7.6%) bagi menambahbaik pengeluaran loji Bercham, loji janakuasa biogas tapak pelupusan di Perak dan RM5 juta (15.1%) akan dilaburkan untuk membina loji kuasa biojisim dua megawatt (MW) baharu untuk meningkatkan penjanaan kuasa.

 

"Baki RM10 juta atau 30.3% akan diperuntukkan untuk bayaran balik pinjaman bank dan perbelanjaan penyenaraian," katanya - DagangNews.com