Isu lebihan bekalan jejaskan pemulihan sektor hartanah | DagangNews Skip to main content

Isu lebihan bekalan jejaskan pemulihan sektor hartanah

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Julai - Sektor hartanah dijangka terus berdepan dengan masalah lebihan bekalan yang telah berlanjutan sejak enam tahun lalu apatah lagi dalam suasana mencabar akibat pandemik COVID-19.

 

Kenanga Research mendapati data yang dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan masalah tersebut berlaku sejak 2015 apabila kediaman servis mula membanjiri pasaran hartanah secara agresif di sebalik langkah-langkah penampan yang dilaksanakan kerajaan pada 2014.

 

Penganalisisnya, Lum Joe Shen berkata, ia menyaksikan lebihan unit tidak terjual bagi kediaman servis mencatat kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 192% sejak 2015 hingga suku pertama 2021.

 

Pada 2015, unit tidak terjual ini meningkat daripada 79,289 unit kepada 154,723 unit pada suku pertama tahun ini.

 

"Kami berpendapat masalah ini tidak mungkin dapat ditangani dalam masa terdekat dengan mengambil kira lebihan bekalan yang ada dan unit tidak terjual dalam pembinaan masih lagi berjalan hingga ke hari ini," katanya dalam nota kajian. 

 

 

Kenanga Research

 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' memandangkan sektor ini masih lagi berdepan cabaran. 

 

Menurut Joe, prospek sektor ini semakin diburukkan lagi dengan indeks harga rumah (HPI) yang lemah terutama apabila kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan kemudiannya diikuti dengan PKPD di beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur. 

 

Berdasarkan kepada HPI Global Knight Frank, daripada 56 negara terlibat, Malaysia berada di kedudukan keempat yang memiliki HPI paling rendah pada suku pertama tahun ini. 

 

"Kami percaya keadaan ini disebabkan momentum pemulihan ekonomi yang perlahan daripada pandemik ini dan juga isu lebihan bekalan. 

 

"Sehubungan itu, HPI Malaysia akan terus kekal lemah meskipun kita dapat keluar daripada krisis ini, tetapi masalah lebihan bekalan ini sukar diatasi," katanya. 

 

Sementara itu, penganalisis UOB Kay Hian, Chloe Tan berkata, terdapat pemulihan sementara pada suku keempat apabila negara mencapai imuniti kelompok dan ekonomi dibuka semula.

 

Malah, katanya, pendapatan pemaju hartanah bagi suku kedua dan ketiga ini juga dijangka lembap disebabkan penutupan galeri pameran dan pemproses pinjaman yang perlahan.

 

"Pelancaran hartanah juga dihentikan akibat ketidaktentuan dan lebih memburukkan keadaaan apabila aktiviti pembinaan di Selangor dan Kuala Lumpur dihentikan selama 2 minggu mulai 2 Julai berikutan pelaksanaan PKPD.

 

"Ini menyebabkan kebanyakan tapak projek terganggu sekali gus menjejaskan pembayaran pada 2021," jelasnya.

 

Firma tersebut mengurangkan unjuran pendapatan bagi sektor hartanah sebanyak 7% tahun ini sekiranya tempoh PKP dilanjutkan lagi. - DagangNews.com