Jangan lemah semangat hadapi dugaan ketika ini - PM | DagangNews Skip to main content

Jangan lemah semangat hadapi dugaan ketika ini - PM

 

 

KUALA LUMPUR 18 Jun - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan perjuangan dalam melawan pandemik COVID-19 memerlukan kerjasama dan sokongan semua pihak supata negara dapat melangkah keluar daripada wabak itu tidak lama lagi. 

 

Malah, beliau turut meminta agar rakyat terus berjuang dan tidak berasa lemah semangat dalam menghadapi dugaan serta cabaran ketika ini.

 

"Pastinya doa kita ini akan meningkatkan lagi dan memperkuat semangat juang kita. 

 

"Jangan kita rasa lemah semangat, jangan kita berasa mahu berundur atau tunduk kepada apa-apa cabaran berat yang sedang dihadapi oleh negara kita. 

 

"Pastinya ini memerlukan kerjasama, sokongan dan bantuan sesama kita," katanya seperti dilapor Bernama.

 

Beliau berkata demikian pada Program Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berselawat Bersama Perdana Menteri dan Rakyat yang diadakan secara maya hari ini. 

 

Bacaan selawat itu dipimpin oleh Imam Besar Masjid Putra Ikmal Zaidi Mohd Hashim bersama dua qari Ahmad Tarmizi Ali dan Amir Rahman Abbas di Kompleks Islam Putrajaya.

 

Program itu diadakan bagi memohon kesejahteraan warga di PKRC serta seluruh rakyat yang kini berjuang melawan pandemik COVID-19.

 

Pada masa sama, Perdana Menteri turut menzahirkan rasa bangga terhadap kecekalan dan semangat juang yang tinggi rakyat Malaysia, khususnya petugas barisan hadapan, dalam menghadapi wabak ini.

 

Beliau turut mengingatkan, perjuangan atau peperangan besar seperti ini tidak mungkin berjaya tanpa ada pengorbanan yang besar daripada semua pihak.

 

"Pelan Pemulihan Negara yang telah pun saya bentangkan adalah harapan baharu yang ada, dan inilah yang akan kita usahakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang," katanya.

 

Pada Selasa, Perdana Menteri mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi 4 fasa PKP secara berperingkat, merupakan strategi peralihan keluar daripada kemelut pandemik COVID-19.

 

Pada 28 Mei lalu, kerajaan memutuskan melaksanakan PKP menyeluruh di seluruh negara selama dua minggu sebelum dilanjutkan lagi hingga 28 Jun 2021.

 

Pelaksanaan PKP secara menyeluruh sejak 1 Jun lalu menyaksikan negara mengalami kerugian ekonomi sebanyak RM1 bilion sehari. - DagangNews.com