Oleh ADAM ALIEF
JOHOR BAHRU 6 Julai - Kerajaan negeri Johor memohon peruntukan sebanyak RM1 bilion daripada kerajaan Persekutuan dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, peruntukan tersebut dilihat penting terutama kepada perusahaan industri kecil dan sederhana (SME) di negeri ini yang terlibat dalam sektor pembuatan.
Menurutnya, jumlah yang diminta itu disifatkan realisitik dan sesuai dengan sumbangan sektor berkenaan dalam membantu pertumbuhan ekonomi negeri.
“Bidang SME atau PKS adalah sektor yang penting untuk kita bangunkan, ahli mesyuarat (IJEC) mencadangkan supaya kerajaan negeri mengusulkan peruntukan daripada kerajaan persekutuan sekurang-kurangnya RM1 bilion bagi memastikan keberkesanan dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
“Ini adalah sesuatu perkara yang akan kerajaan negeri perjuangkan, saya akan mengadakan pertemuan dalam masa yang terdekat dengan Kementerian Kewangan untuk memberi gambaran mengapa kita memerlukan peruntukan atau bantuan kewangan sebanyak itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau sebelum itu mempengerusikan mesyuarat pertama Ibrahim Johor Economic Council (IJEC) yang berlangsung selama tiga jam, mesyuarat kedua dijangka akan diadakan dalam masa dua bulan.
Mesyuarat itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani, Mantan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Pegawai Kewangan Negeri Johor Datuk A. Rahim Nin.
Selain itu, IJEC turut dianggotai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Syed Mohammad Syed Ibrahim; Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran Petronas, Datuk Md. Ariff Mahmood; Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Datuk Shahril Ridza Ridzuan.
Turut sama Pengerusi EcoWorld Development Group Bhd, Tan Sri Liew Kee Sin; Pengerusi Malaysia Institute of Research (MIER) Tan Sri Dr. Kamal Salih; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Datuk Rosman Mohamed; Pengarah/Pengasas Bait Al Amanah Dr. Abdul Razak Ahmad dan Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pembangunan) Datuk Dr. Badrul Hisham Kassim.
Dalam pada itu, Hasni berkata, agenda mesyuarat pertama IJEC itu juga bakal menjadi asas penting bagi Bajet Johor 2021 selain menjadi penanda aras bagi kerajaan negeri dalam merangka bajet tersebut. - DagangNews.com