Johor Port sumbang RM1 juta kepada Tabung Endowmen UTM | DagangNews Skip to main content

Johor Port sumbang RM1 juta kepada Tabung Endowmen UTM

MAJLIS Penyerahan Sumbangan RM1 Juta oleh Johor Port kepada Tabung Endowmen UTM yang diadakan secara maya.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Johor Port Berhad (Johor Port), ahli Kumpulan MMC Corporation Berhad menyumbang RM1 juta kepada Tabung Endowmen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi majlis penyerahan sumbangan yang diadakan secara maya.  

 

Cek sumbangan telah diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port  Berhad, Md Derick Basir kepada Naib Canselor UTM,  Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail dan disaksikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan MMC, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh. 

 

Tujuan utama penubuhan Tabung Endowmen UTM adalah untuk membantu pelajar dari keluarga  yang kurang berkemampuan dan mempunyai tahap pencapaian akademik yang baik tetapi  menghadapi kesukaran untuk membiayai yuran pengajian dan kos sara hidup mereka. 

 

Che Khalib berkata, pihaknya percaya bahawa sektor swasta juga dapat memberikan sumbangan yang besar terhadap perkembangan pendidikan tinggi dari segi suntikan dana dan pengalaman latihan industri. 

 

Katanya, sumbangan daripada Johor Port ini merupakan salah satu tanggungjawab korporat kepada negara dalam membantu anak-anak  bangsa meneruskan cita-cita mereka untuk menimba ilmu dan menjadi insan yang berjaya. 

 

“Lebih-lebih lagi pada situasi sekarang di mana ramai yang hilang punca pendapatan, mungkin ada di antara mereka yang mempunyai anak-anak yang menuntut di UTM ini. Kita tidak mahu anak-anak ini lemah semangat atau putus asa. Pendidikan merupakan aset penting untuk mengubah taraf kehidupan dan ianya mampu mengubah masa depan seseorang menjadi lebih baik. 

 

“Dan saya percaya dengan adanya kerjasama antara syarikat korporat dan universiti, ianya dapat  membangunkan dan memperkasakan modal insan yang berkualiti tinggi, berkemahiran dan  berpengetahuan, kreatif dan inovatif dan seterusnya dapat membangunkan negara ke arah yang  lebih cemerlang pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Ahmad Fauzi dalam ucapan alu-aluannya menzahirkan rasa syukur dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Johor Port atas komitmen berterusan membantu UTM, khususnya dengan menyalurkan sumbangan dana ke Tabung Endowmen UTM berjumlah RM8 juta, sejak tahun 2013 hingga tahun 2021. 

 

Dana yang  disumbangkan telah dilaburkan dalam simpanan tetap (fixed deposit) rendah risiko dan patuh syariah serta hibah pelaburan yang diperoleh telah dapat digunakan untuk membantu 21 orang pelajar UTM yang cemerlang tetapi kurang berkemampuan (B40) melalui pemberian Biasiswa  Endowmen Al-Bukhary. 

 

Sehingga kini, sebanyak 12 orang pelajar penerima Biasiswa Endowmen  Al-Bukhary telah bergraduan dan berjaya menamatkan program pengajian masing-masing  dengan cemerlang, katanya.

 

Bagi menghargai sumbangan Johor Port Berhad, UTM telah menamakan Pusat Teknologi Marin  UTM sebagai UTM – Johor Port Marine Technology Centre.

 

Johor Port Berhad berfungsi sebagai pemangkin kepada pelbagai industri khususnya dalam aktiviti komoditi, pembuatan, dan minyak dan gas.

 

Pelabuhan Johor mempunyai lima Terminal dengan 24 berth sepanjang 4.75 kilometer merangkumi pelbagai aktiviti termasuk Kontena, Pukal dan Pukal Cerai.

 

Ia juga merupakan pelabuhan pertama di Johor  yang dirancang sebagai pelabuhan pelbagai guna untuk mengendalikan semua jenis kargo. - DagangNews.com