Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 26 Okt. - Jualan asing ekuiti tempatan di Bursa Malaysia minggu lalu berkurangan kepada RM214.4 juta berbanding RM237.09 juta pada minggu sebelumnya.
MIDF Research berkata, secara kumulatif untuk Oktober, pelabur asing merupakan penjual bersih berjumlah RM479.5 bilion.
Jelasnya, apabila pasaran dibuka semula pada Isnin lalu, pelabur asing membeli RM101.58 juta bersih ekuiti tempatan dengan pelabur runcit dan institusi tempatan pula merupakan penjual dan pembeli bersih sebanyak RM210,000 dan RM101.38 juta masing-masing.
"Bagaimanapun, aliran masuk ini tidak sah apabila minggu lalu momentum jualan bersih semakin meningkat dan pasaran luar mempengaruhi keputusan pelabur.
"Tambahan pula, rundingan pakej rangsangan ekonomi seterusnya di Amerika Syarikat (AS) berterusan tanpa sebarang perjanjian dicapai," katanya dalam laporan dana mingguan hari ini.
Sepanjang minggu lalu, kebanyakan pasaran saham di seluruh dunia ditutup bercampur-campur di sebalik kebimbangan pandemik COVID-19 yang belum ditangani dan pilihan raya presiden AS akan datang.
Di Malaysia pula, keadaan politik tidak menentu sehingga membawa kepada cadangan pengisytiharan darurat selepas mesyuarat Kabinet Jumaat lalu.
MIDF Research berkata, sepanjang minggu lalu, pelabur runcit kembali sebagai pembeli bersih berjumlah RM446.5 juta nilai ekuiti manakala institusi tempatan menjual RM232.1 juta.
"Minggu lalu juga menandakan jualan bersih kembali dalam pasaran setelah empat minggu berturut-turut institusi tempatan muncul pembeli bersih di Bursa Malaysia," katanya.
Selalu lalu, pembelian bersih bermula dengan RM180.86 juta dan berlanjutan sepanjang minggu sekali gus menunjukkan kecenderungan pembelian dalam kalangan pelabur runcit.
"Ini terutamanya melibatkan saham sarung tangan getah apabila kes COVID-19 semakin meningkat, di samping ketidak tentuan politik di negara ini," katanya.
Setakat tahun ini, menurut firma penyelidikan itu, pelabur runcit membeli RM11.6 bilion ekuiti manakala institusi tempatan pula RM10.9 bilion.
Menurut MIDF Research, setakat tahun ini, jualan bersih pelabur asing mencecah RM22.81 bilion nilai ekuiti di Bursa Malaysia.
Berdasarkan tiga pasaran Asia Tenggara berdasarkan analisis minggu lalu, MIDF Research mendapati Malaysia merekodkan aliran keluar bersih yang sedikit manakala Indonesia menyaksikan aliran keluar terbesar berbanding yang lain.
"Bagaimanapun, aliran bersih asing dalam pasaran ekuiti di Thailand merupakan yang terbesar dan kedua terbesar pada Rabu dan Khamis berjumlah RM145.18 juta dan RM87.78 juta masing-masing," katanya. - DagangNews.com