Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Feb. - Nilai jualan Perdagangan Borong & Runcit susut -0.3% kepada RM115.5 bilion pada bulan Disember 2020.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penurunan tersebut disebabkan oleh Perdagangan Runcit yang menguncup sebanyak 2.0% kepada -RM0.9 bilion.
"Perdagangan Borong juga turun 0.6% (-RM0.3 bilion). Sebaliknya, Kenderaan Bermotor terus merekodkan pertumbuhan positif 7.4% atau peningkatan sebanyak RM0.9 bilion.
"Bagi Disember 2020, indeks volum Perdagangan Borong & Runcit mencatatkan pertumbuhan -0.7% tahun ke tahun untuk mencapai 133.8 mata.
"Kejatuhan ini disebabkan oleh Perdagangan Runcit dan Perdagangan Borong yang masing-masing turun 2.9% dan 0.02%. Sebaliknya, Kenderaan Bermotor merekodkan pertumbuhan positif iaitu 6.0%. Bagi indeks volum pelarasan musim, ia meningkat 1.3% bulan ke bulan," katanya dalam laporan jualan Perdagangan Borong & Runcit bagi Disember 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Perdagangan Borong menjana jualan sebanyak RM55.3 bilion pada Disember 2020, turun RM0.3 bilion (-0.6%) berbanding bulan Disember 2019.
Lain-lain Pengkhususan Jualan Borong dan Jual Borong Berdasarkan Kontrak atau Yuran merosot masing-masing 6.4% berbanding tahun sebelumnya.
Bagi perbandingan antara bulan, jualan bagi subsektor ini meningkat 4.8%.
Tambah beliau, Indeks volum Perdagangan Borong mencatatkan 131.3 mata, menyusut 0.02% tahun ke tahun.
Pertumbuhan negatif tersebut direkodkan oleh Lain-lain Pengkhususan Jualan Borong (-5.8%) dan Jual Borong Berdasarkan Kontrak atau Yuran (-3.7%).
Indeks volum pelarasan musim pula meningkat 0.7% bulan ke bulan.
Dalam aspek perdagangan runcit pula, jualan Perdagangan Runcit mencatatkan pertumbuhan negatif 2.0% berbanding Disember 2019.
Kumpulan yang menyumbang kepada penurunan tersebut adalah Jualan Runcit di Kedai Khusus yang Menjual Bahan Api Kenderaan (-10.5%), Jualan Runcit di Kedai Khusus yang Menjual Barangan Lain (-6.4%) dan Jualan Runcit di Kedai Khusus yang Menjual Barangan Kesenian & Rekreasi (-4.9%), berbanding November 2020, jualan bagi subsektor ini meningkat 4.5%.
Indeks volum Perdagangan Runcit merekodkan pertumbuhan -2.9% kepada 145.3 mata berbanding Disember 2019.
Kumpulan yang menyumbang kepada pertumbuhan itu ialah Jualan Runcit di Kedai Khusus yang Menjual Bahan Api Kenderaan (-9.1%), Jualan Runcit di Kedai Khusus yang Menjual Barangan Lain (-7.7%) dan Jualan Runcit di Kedai Khusus yang Menjual Barangan Kesenian & Rekreasi (-5.5%).
Bagi indeks volum pelarasan musim, ia meningkat 0.9% berbanding November 2020.
Sementara itu, kenderaan bermotor pula mencatatkan pertumbuhan nilai jualan 7.4% berbanding tahun lalu.
"Peningkatan tersebut didorong oleh Jualan Kenderaan Bermotor yang mencatatkan pertumbuhan 15.3% dan Jualan, Penyelenggaraan & Pembaikan Motosikal 6.9%. Bagi perbandingan bulanan, jualan subsektor ini meningkat 4.4%.
"Indeks volum Kenderaan Bermotor tumbuh 6.0% tahun ke tahun untuk mencapai 108.9 mata. Kenaikan ini disumbangkan oleh Jualan Kenderaan Bermotor (16.1%) dan Jualan, Penyelenggaraan & Pembaikan Motosikal (6.6%).
"Indeks volum pelarasan musim bagi subsektor ini meningkat 4.6% bulan ke bulan," katanya lagi. - DagangNews.com