KUALA LUMPUR 8 Mei - Eversendai Corp Bhd berkata juruaudit bebasnya telah menimbulkan kebimbangan mengenai keupayaan firma pembinaan yang menanggung kerugian itu untuk beroperasi, di dalam penyata kewangan terauditnya bagi tahun berakhir 31 Dis 2022 (FY2022).
Firma Baker Tilly Monteiro Heng PLT menegaskan kumpulan Eversendai mengalami kerugian bersih sebanyak RM366.86 juta dan liabiliti semasanya melebihi aset semasa mereka sebanyak RM168.33 juta.
Ini menunjukkan ketidakpastian material wujud yang mungkin menimbulkan keraguan ketara terhadap keupayaan kumpulan untuk meneruskan usaha berterusan, menurut makluman Eversendai di Bursa Malaysia).
Keupayaan kumpulan bergantung kepada sokongan berterusan daripada institusi kewangan dan perbincangan mengenai rancangan penstrukturan semula untuk pinjaman kumpulan berjaya dimuktamadkan, serta mencapai operasi yang mampan dan menguntungkan atau melalui pelupusan aset bukan teras bagi menjana aliran tunai yang mencukupi bagi operasi aktivitinya.
Eversendai berkata ia menjangkakan prestasinya untuk FY2023 adalah baik, kerana ia sedang mencari untuk mendapatkan lebih banyak projek baharu.
“Kami telah pun memulakan inisiatif untuk meningkatkan daya saing pembidaan kami. Ini akan meningkatkan daya tahan perniagaan dan operasi kami serta membantu kami melaksanakan projek, selaras dengan keperluan dan jangkaan pelanggan kami. Kami percaya usaha tertumpu kami akan memacu hasil yang lebih baik untuk kumpulan, bergerak ke hadapan,” tambahnya.
Eversendai mencatatkan kerugian bersih yang lebih tinggi sebanyak RM359.39 juta untuk FY2022, berbanding RM137.08 juta setahun sebelumnya. Hasil FY2022 merosot kepada RM897.93 juta, daripada RM1.22 bilion.
Kerugian terkumpulnya meningkat kepada RM474.16 juta pada akhir 2022.
Saham Eversendai setakat 4 petang ini menyusut 20% lagi menjadi 8 sen setelah mencatat penurunan 28.57% setakat tahun ini. Permodalan pasarannya kini kira-kira RM62.49 juta. - DagangNews.com