PUTRAJAYA 1 Mac - Kabinet bersetuju mengembalikan semula pengecualian dasar kabotaj bagi kapal bukan Malaysia untuk menjalankan pembaikan kabel dasar laut yang telah dibatalkan pada 2020, kata Anthony Loke.
“Tarikh kuat kuasa keputusan itu akan diumumkan kemudian,” kata Menteri Pengangkutan itu dalam sidang media di bangunan kementerian di Putrajaya hari ini.
“Ini adalah keputusan penting untuk menarik lebih banyak pelaburan asing dalam industri pusat data dan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi digital,” katanya sambil menambah keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet.
“Sejurus selepas mesyuarat pasca Kabinet petang ini, arahan akan diberikan untuk langkah-langkah yang perlu untuk pewartaan.
“Kami yakin ia boleh dilakukan dalam tempoh dua bulan,” kata Loke.
Menurutnya, Kementerian Pengangkutan telah mengadakan banyak perbincangan dengan syarikat IT dan pengembalian semula pengecualian telah dibincangkan secara meluas.
“Kami membuat kesimpulan bahawa salah satu perubahan dasar yang paling penting, setakat kabotaj, adalah untuk membenarkan pengecualian untuk pembaikan kabel dasar laut kerana ini penting untuk syarikat IT dan telco.
"Kami akan melakukan segala yang perlu untuk memastikan ada kepastian dengan dasar ini untuk menarik lebih banyak pelaburan antarabangsa - bukan hanya dengan kabel dasar laut - tetapi juga pusat data di Semenanjung Malaysia, serta Sabah dan Sarawak," katanya.
Sementara itu, Loke berkata pengecualian dasar kabotaj untuk perkhidmatan kargo akan dikembalikan semula di Sarawak dan dikekalkan di Sabah.
Loke juga berkata semua kapal tempatan dan asing yang menyediakan perkhidmatan kargo di perairan Malaysia perlu memohon lesen perkapalan domestik (DSL) atas sebab keselamatan.
“Proses permohonan DSL dipermudahkan dan ia akan diproses dalam tempoh tiga hari,” katanya.
Loke menegaskan semua kapal asing boleh menyediakan perkhidmatan perkapalan "panggilan terus" dari pelabuhan asing ke mana-mana pelabuhan di Sabah, Sarawak dan Labuan untuk mengangkut barangan import atau eksport.
Beliau berkata dasar Kementerian Pengangkutan pada 1990-an untuk mempromosikan Pelabuhan Klang sebagai satu-satunya pusat muatan nasional tidak lagi terpakai kerana pelabuhan itu kini mengendalikan lebih enam juta kontena atau TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) untuk eksport dan import.
"Keputusan untuk berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia dibenarkan dan ia terikat dengan keputusan komersial syarikat perkapalan,'' tambah Loke.
Diperkenalkan pada Januari 1980, bekas kerajaan Pakatan Harapan telah membatalkan dasar kabotaj untuk kerja-kerja pembaikan kabel pada April 2019, yang mengecualikan kapal penyenggaraan kabel dasar selam daripada memohon DSL.
Polisi kabotaj kemudiannya diperkenalkan semula pada 16 Nov 2020 selepas kerajaan Pakatan tumbang.
Pelaksanaan semula dasar kabotaj untuk kerja-kerja pembaikan kabel dasar laut telah menjadi isu yang dipertikaikan, dengan pengkritik berhujah bahawa dasar sedemikian boleh menghalang pelaburan asing dan menyebabkan syarikat teknologi gergasi mengecualikan Malaysia daripada projek kabel yang bertujuan untuk meningkatkan sambungan Internet serantau. - DagangNews.com