Kadar cukai pendapatan khas 15% bagi pekerja mahir bangunkan zon kewangan khas Iskandar Malaysia - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Kadar cukai pendapatan khas 15% bagi pekerja mahir bangunkan zon kewangan khas Iskandar Malaysia - PM Anwar

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Julai - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar khas cukai pendapatan 15% akan diberikan kepada pekerja mahir dan syarikat yang layak sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan membangunkan zon kewangan khas di Iskandar Malaysia, Johor.

 

Beliau berkata, kerajaan juga akan menawarkan kemudahan laluan cepat imigresen bagi memudahkan kemasukan pekerja mahir dari luar negara.

 

"Zon kewangan khas di Iskandar Malaysia akan berdaya saing bagi menarik pelabur antarabangsa dan pekerja berpengetahuan untuk menetap di Malaysia," katanya  ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, hari ini. 

 

Zon kewangan khas pertama kali diumumkan dalam Bajet 2023 yang dibentangkannya atas kapasitinya sebagai menteri kewangan pada Februari lalu.

 

Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu mengurangkan kebergantungan pada buruh asing kurang mahir yang menyumbang kepada nilai gaji keseluruhan yang 
rendah. 

 

Katanya, ini juga mengurangkan moral dan insentif majikan untuk berinovasi dan meningkatkan tahap berdaya saing. 

 

"Kerajaan berhasrat melaksanakan levi pekerja asing berperingkat (tiered foreign worker levies), iaitusebahagian peningkatan hasil levi akan dikhususkan untuk program automasi serta latihan untuk pekerja tempatan," katanya.

 

Anwar berkata, bagi mencapai perkongsian ekonomi yang lebih seimbang, kerajaan akan melaksanakan dasar yang menyokong peningkatan upah berbanding  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada tahap 45% selaras dengan tahap negara lebih maju.

 

Beliau berkata, antara usaha termasuklah kajian semula tahap gaji minimum serta memperkenalkan undang-undang yang menjamin persekitaran kerja yang selamat dan selesa. 

 

"Selain pelaksanaan gaji minimum, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia sedang memperhalusi model gaji progresif ke arah kenaikan pendapatan yang lebih terangkum.

 

"Peningkatan pendapatan selaras dengan produktiviti adalah kritikal bagi memastikan tahap kualiti hidup yang bermakna dalam menangani cabaran kos sara hidup," katanya. - DagangNews.com