Kadar sewa CMMT dijangka kekal negatif - MIDF | DagangNews Skip to main content

Kadar sewa CMMT dijangka kekal negatif - MIDF

CapitaLand Malaysia Mall Trust’s (CMMT)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 April - Kadar sewa CapitaLand Malaysia Mall Trust’s (CMMT) dijangka kekal berada dalam fasa negatif.

 

MIDF Research berkata, jangkaan itu dinilai kepada perkembangan semasa pasaran runcit di negara ini yang masih mencabar.

 

"Kami menyemak semula ramalan pendapatan bagi tahun kewangan 2021/2022 sebanyak -12.6%/-18.8% kerana kami menjangkakan pendapatan CMMT akan terjejas akibat kadar sewa yang negatif dalam jangka masa terdekat.

 

"Kami menjangkakan kadar sewa akan kekal negatif kerana perkembangan semasa pasaran runcit yang masih mencabar," jelas MIDF Research.

 

CMMT mengumumkan pendapatan sebanyak RM7.7 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2021.

 

Jumlah pendapatan tersebut bagaimanapun berada di bawah jangkaan MIDF Research.

 

Prestasi kurang memberangsangkan itu dikaitkan dengan pendapatan sewa yang lebih rendah pada suku berkenaan akibat pelaksanaan PKP 2.0 serta kadar sewa yang negatif berbanding jangkaan.

 

MIDF Research berkata, pendapatan pada suku berkenaan adalah -50% lebih rendah berbanding suku sebelumnya impak pelaksanaan PKP 2.0 yang memberi kesan kepada perolehan dan pendapatan tempat letak kereta.

 

"Pendapatan turut terkesan oleh kadar sewa yang negatif -11.7% serta penurunan kadar penghunian kepada 85.1% pada suku pertama tahun kewangan 2021 berbanding 86.6% pada suku keempat tahun kewangan 2020.

 

"Pendapatan suku pertama tahun kewangan 2021 adalah lebih rendah sebanyak 60% tahun ke tahun kerana pendapatan pada suku pertama tahun sebelumnya hanya sebahagian dipengaruhi oleh PKP 1.0," tambah MIDF Research lagi.

 

Penurunan pendapatan bagi tempoh berkenaan sebahagiannya diimbangi oleh pengurangan perbelanjaan utiliti.

 

Hal ini kerana penggunaan elektrik adalah lebih rendah serta kelebihan potongan 10% penggunaan elektrik.

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'neutral' saham CMMT dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM0.60. - DagangNews.com