Kaji selidik Agoda: Percutian berkumpulan bersama keluarga dan rakan jadi pilihan ramai semula | DagangNews Skip to main content

Kaji selidik Agoda: Percutian berkumpulan bersama keluarga dan rakan jadi pilihan ramai semula

Warga Malaysia merupakan tiga kumpulan pelancong teratas yang cenderung untuk merancang dua atau lebih percutian keluarga pada tahun akan datang. - Gambar V
Oleh Mohamad Iman

DENGAN cuti sekolah akhir tahun yang semakin rancak, Kaji Selidik Trend Percutian Keluarga Agoda 2022 telah menunjukkan bahawa empat daripada lima orang pelancong akan bercuti bersama keluarga terdekat dalam tempoh 12 bulan akan datang.

 

Walaupun melancong bersama rakan-rakan lebih popular berbanding dengan melancong bersama keluarga besar, namun data menunjukkan lebih separuh (52%) masih berminat untuk bercuti secara berkumpulan dengan saudara-mara mereka.

 

agoda

 

Pelancong dari Singapura (61%), Taiwan (61%) dan Vietnam (59%) lebih cenderung untuk bercuti sekurang-kurangnya satu kali bersama keluarga terdekat mereka.

 

Sementara itu, pelancong dari Filipina (47%), Indonesia (40%) dan Malaysia (35%) lebih cenderung untuk merancang dua atau lebih percutian keluarga pada tahun akan datang.

 

Bagi percutian bersama keluarga besar, pelancong dari Indonesia, Filipina dan Vietnam menduduki tiga tempat teratas, manakala pelancong dari Jepun, Korea dan Singapura paling tidak berkemungkinan untuk bercuti bersama seluruh ahli keluarga mereka.

 

Naib Presiden Serantau, Asia Tenggara, Oceania dan India, Agoda, Enric Casals berkata: “Semakin ramai, semakin meriah. Begitulah nampaknya trend percutian di seluruh Asia Tenggara, India dan juga di negara-negara rantau lain apabila sektor pelancongan akhirnya dibuka semula di Asia.

 

Kaji selidik Percutian Keluarga Agoda menunjukkan orang ramai ingin ditemani oleh rakan-rakan atau saudara-mara semasa percutian, dengan lebih daripada 80% pelancong telah merancang untuk melancong bersama keluarga terdekat dan 52% memilih untuk melancong bersama saudara-mara lain juga,” jelas belia.

 

Pelancong dari Filipina (59%), India (44%) dan Korea Selatan (38%) memberikan keutamaan yang tinggi untuk hotel mesra bajet, manakala mereka dari Indonesia (42%), Malaysia (39%) dan Taiwan (38%) lebih cenderung untuk memilih penginapan sewaan yang menawarkan kemudahan tambahan seperti dapur atau ruang tinggal dan tidur yang berasingan.

 

Ini berbeza dengan hampir separuh daripada pelancong Jepun (43%) yang mengutamakan rangkaian hotel sebagai penginapan pilihan mereka dan 34% pelancong Thai yang lebih cenderung untuk memilih kemudahan pusat peranginan yang menawarkan pakej yang lengkap.  

 

 

agoda

 


Penutupan sempadan masih membimbangkan para pelancong

Walaupun masa depan sektor pelancongan semakin optimis dan pertumbuhannya telah mengatasi tahap sebelum pandemik COVID-19, kira-kira 77% pelancong dari serata dunia masih menunjukkan kebimbangan terhadap penutupan semula sempadan antarabangsa semasa mereka berada di luar negara.

 

Lebih ramai pelancong dari pasaran yang baru dibuka tidak lama dahulu, iaitu Korea Selatan dan Jepun, menyatakan rasa bimbang berbanding dengan pasaran yang telah menghapuskan sekatan sempadan dengan segera termasuk Amerika Syarikat (AS), Australia dan India.

 

Pilihan tempat penginapan untuk percutian keluarga dan berkumpulan

agoda

 

METODOLOGI

Kaji selidik Agoda ini telah dijalankan melalui kerjasama YouGov dengan undian lebih daripada 10,000 orang pelancong dari Australia, Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand, India, Filipina, Jepun, Vietnam, Taiwan, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

 

Kaji selidik ini telah dijalankan dari 8-16 Julai 2022. Kesemua responden berumur 18 tahun ke atas.  – DagangNews.com