Karya dan Masyarakat adalah sarana untuk membudayakan penciptaan kandungan - CMCF | DagangNews Skip to main content

Karya dan Masyarakat adalah sarana untuk membudayakan penciptaan kandungan - CMCF

Sesi forum bersama panelis (Dari kiri) Moderator Afiq Zulhilmi Baharudin; Pengarah Kawal Selia, MCMC Negeri Kedah Mohd Faizal Azizan; Pelakon dan Pengarah Dato’ Ahmad Tamimi Siregar; Pensyarah Kanan UUM, Dr. Noor Aziah Abdullah dan Mohd Fairuz (MF Kencana), Penulis Skrip dan Pensyarah UUM.

FORUM Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) dan Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Wacana Kandungan: Autopsi Kandungan Kreatif Melestari Warga Digital yang mengumpulkan pakar industri dan ilmuan untuk membicarakan cabaran di dalam landskap penciptaan kandungan.

 

Seminar yang telah dianjurkan ini mendalami bidang tumpuan utama, termasuk kebanjiran kandungan di Internet, pematuhan kepada undang-undang sedia ada, penciptaan kandungan yang berhemah dan menggalakkan pemikiran kritis masyarakat.

 

Sesi panel juga menekankan peranan penting pencipta kandungan dalam mendidik warga digital, menerapkan nilai murni dan sentiasa bertanggungjawab atas kandungan yang dihasilkan dengan kawalan kendiri.

 

Dalam kenyataan pembuka majlis, Profesor Madya Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin, Dekan SCIMPA, UUM berhasrat agar setiap pengkarya dapat mengutamakan integriti yang sejajar dengan nilai dan norma masyarakat di Malaysia.

 

Beliau juga berharap agar karya yang dihasilkan tidak melanggar Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Kod Kandungan).


 

Prof. Madya Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin
               Prof. Madya Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CMCF, Mediha Mahmood turut menasihatkan agar para pencipta kandungan dapat memanfaatkan kreativiti dengan merujuk kepada Kod Kandungan dan menyarankan agar para penonton menggunakan budi bicara sendiri untuk menilai dan memilih kandungan yang sesuai dengan diri masing-masing.

 

Dalam kebanjiran kandungan dalam ekosistem digital kini, beliau turut menyatakan, “pihak CMCF sentiasa berusaha untuk memperkasakan pelapis pemimpin industri masa depan melalui pendidikan dan kesedaran dari peringkat akar umbi dengan kawalan kendiri”.

 

Kebanjiran Kandungan di Internet

Pencipta kandungan atau lebih dikenali sebagai content creator adalah istilah bagi individu yang mencipta kandungan atau media untuk dikongsi dalam talian.

 

“Jika dahulu, hanya yang berkelayakan sahaja boleh membuat kandungan terutamanya seperti di televisyen dan radio. Dengan Internet, sesiapa mampu membuat kandungan”, kata Mohd Faizal Azizan, Pengarah Kawal Selia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Kedah.

 

“Internet kini boleh dianggap sebagai utiliti ketiga setelah elektrik dan air”. Jika dilihat pekerjaan pencipta kandungan, ia semakin popular dan mendapat tempat di hati masyarakat terutama golongan muda, pelbagai jenis kandungan yang dihasilkan dalam seharian, kata beliau.

 

Oleh demikian, perbincangan ini turut menekankan keperluan untuk berwaspada ketika membuat kandungan dengan mengambil kira sensitiviti pelbagai pihak. Dari aspek digitalisasi, kita dapat melihat bahawa ada kajian telah membuktikan bahawa Internet berupaya untuk mengubah bentuk pemikiran selain daripada menyampai maklumat secara pantas dan cepat.

 

 

Mediha Mahmood
                              Mediha Mahmood

 

 

Menurut penelitian Dr. Noor Aziah Abdullah, Pensyarah Kanan UUM, sebarang kandungan yang diterima oleh masyarakat mampu mengubah pemikiran dan kita tidak seharusya membiarkan golongan muda belajar sesuatu yang tidak murni di Internet.

 

Justeru, beliau mencadangkan agar kawalan kendiri menjadi teras utama ketika membuat kandungan dan pencipta kadungan seharusnya patuh kepada garis panduan sedia ada.

 

Mengimbangi Tanggungjawab dan Etika Dalam Berkarya

Dalam menerokai pelbagai aspek tanggungjawab pencipta kandungan, ahli panel mendalami cabaran yang menekankan keseimbangan yang diperlukan di antara hiburan yang memenuhi permintaan masyarakat dan kandungan yang menerapkan elemen sosiobudaya dalam berkarya.

 

Perbincangan ini turut diperluas untuk menangani isu-isu utama seperti kurang pendedahan terhadap garis panduan sedia ada, penghasilan kandungan yang tidak bermanfaat, melindungi perkembangan pemikiran kanak-kanak dan menyokong penceritaan yang memberi pengajaran mendalam.

 

MF Kencana, pensyarah SCIMPA, UUM turut berharap agar pengkarya atau pencipta kandungan sentiasa peka dengan sensitiviti pelbagai pihak dan tidak lari daripada tanggungjawab dalam setiap kandungan yang dihasilkan kerana ia memberi kesan yang berpanjangan.

 

Oleh yang demikian, perkara seperti ini harus dititikberat pada peringkat awal pengembangan idea lagi. Beliau turut menasihatkan agar masyarakat tidak mudah terpedaya dengan kandungan yang diterima kerana kebanyakan hanyalah hiburan semata-mata.

 

Membudayakan Pemikiran Kreatif Dengan Garis Panduan

Dalam era digital, terutamanya apabila berurusan dengan alogritma yang rumit, penciptaan kandungan telah menjadi persaingan di mana ramai pihak berlumba-lumba untuk menghasilkan karya kerana ia berupaya menjana pendapatan yang lumayan.

 

Malah, golongan muda dan yang masih bersekolah juga tidak terlepas daripada merebut peluang keemasan itu dengan mengikuti perkembangan arah aliran semasa.

 

Walau bagaimanapun, Dato’ Ahmad Tamimi Siregar, salah seorang panelis forum menasihatkan agar sentiasa membudayakan pemikiran kreatif dalam menyampaikan sesuatu kandungan, tidak semestinya memaparkan adegan yang keterlaluan atau aksi pergaduhan suami isteri contohnya, untuk mewujudkan plot penceritaan yang diinginkan.

 

 

Dato’ Ahmad Tamimi Siregar
               Dato’ Ahmad Tamimi Siregar

 

 

Menurut pandangan beliau, “ramai pengkarya kini hanya berpandukan kepada skrip semata-mata dan ingin mengungkapkannya secara visual sedangkan ia boleh diolah melalui dialog. Disebabkan itulah pengkarya perlu ada ilmu berkreativiti.”

 

Maka, menuntut ilmu itu adalah penting ketika ingin melakukan sesuatu perkara terutamanya apabila kandungan yang dihasilkan itu adalah untuk tontonan masyarakat umum, kata MF Kencana.

 

Beliau yang juga banyak pengalaman dalam penulisan skrip drama dan filem menasihatkan semua agar mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan antaranya seperti Kod Kandungan sewaktu ingin menghasilkan karya. - DagangNews.com