PASIR SALAK 1 Julai - Pembukaan kaunter pembayaran saman trafik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang menawarkan diskaun hingga 50 peratus sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi kelima di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah di sini disambut baik orang ramai.
Bukan sahaja melunaskan saman tertunggak, malah ada pengunjung yang datang hanya untuk membuat semakan dan pertanyaan.
Pengunjung yang ditemui DagangNews.com menyifatkan inisiatif tersebut memudahkan lagi urusan rakyat khususnya masyarakat luar bandar untuk berurusan.
Mohd. Nasiruddin Hassan, 56, sanggup memandu sejauh 60 kilometer dari Ipoh untuk melangsaikan tunggakan saman trafik PDRM atas kesalahan nombor pendaftaran kenderaan.
Katanya, pengurangan 50 peratus yang ditawarkan bagi kesalahan terpilih itu merupakan jumlah yang besar terutama dalam keadaan rakyat berhadapan dengan kenaikan harga barang.
"Walaupun cuma satu saman tetapi saya tidak mahu lepaskan peluang atas tawaran tersebut selain berurusan di kaunter di sini mudah dan cepat.
"Justeru, program AKM ini memang platform yang sesuai dan diharapkan diadakan di jelajah AKM di tempat lain bagi memudahkan rakyat," ujarnya ketika ditemui DagangNews.com.
Bagi guru, Ahmad Hisham Mohd Tahir, 59, beliau yang datang untuk membuat semakan mempunyai satu saman bagi kesalahan memandu laju
Beliau yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Bota Kiri ini terus melunaskan bayaran saman tersebut dengan tawaran diskaun 50 peratus.
"Walaupun cuma satu saman tapi sebagai rakyat yang bertanggungjawab saya perlu lunaskan juga.
"Jadi kunjungan ke AKM di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah memang berbaloi kerana selain dapat melihat pameran pelbagai agensi kerajaan dan usahawan, dapat juga selesaikan saman," ujarnya.
Bagi Siti Nor Syuhada Mansor, 26, orang ramai khususnya yang mempunyai tunggakan saman hendaklah merebut peluang berkunjung ke kaunter saman trafik PDRM.
Menurut penjawat awam ini, peluang seperti itu jarang-jarang diberi apatah lagi dalam keadaan di mana lebihan kewangan diperlukan untuk urusan seharian.
Sementara itu, sehingga pukul 12 tengah hari ini, sebanyak 206 saman telah dilunaskan melibatkan kutipan sebanyak RM23,690. - DagangNews.com