Kebimbangan COVID-19 pengaruhi sentimen pasaran | DagangNews Skip to main content

Kebimbangan COVID-19 pengaruhi sentimen pasaran

 

 


KUALA LUMPUR 16 April - Bimbangan peningkatan ketara jangkitan COVID-19 sejak akhir-akhir ini, indeks utama FBM KLCI mengakhiri dagangan minggu ini pada 1,608.38 mata setelah menokok hanya 0.01%. 

 

Pasaran tempatan menyaksikan 6.52 bilion saham diniagakan bernilai RM4.37 bilion. 

 

Keseluruhan pasaran pula hampir seimbang, dengan kaunter untung mengatasi rugi pada 516 berbanding 501 manakala 483 kaunter tidak berubah.

 

Hari ini, Kementerian Kesihatan melaporkan jangkitan baharu COVID-19 melonjak kepada 2,551 kes berbanding semalam, 2,148 kes.

 

Kali terakhir Malaysia melepasi lebih 2,000 kes sehari ialah pada 5 Mac lalu dengan 2,154 kes.

 

Situasi ini turut mempengaruhi mata wang tempatan, apabila petang ini ringgit ditutup pada RM4.1250/1290 berbanding dolar AS, lebih rendah daripada penutupan semalam, RM4.1230/1260.

 

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, walaupun indeks utama mungkin meningkat lebih tinggi seiring dengan kenaikan semalaman di Wall Street, kebimbangan mengenai kemungkinan gelombang keempat melanda negara akan terus menjejaskan sentimen pelabur.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan minat belian susulan di kaunter sarung tangan memandangkan peningkatan kes COVID-19 yang disahkan setiap hari di negara ini dan di seluruh dunia," katanya dalam nota kajian. 

 

Pada penutupan petang ini, saham sarung tangan getah seperti Supermax Corp. Bhd. meningkat 4.12% kepada RM5.31 manakala Top Glove Corp. Bhd. naik 2.39% kepada RM5.57 dan Hartalega Holdings Bhd. menokok 1.2% kepada RM10.12 sesaham.

 

Sementara itu, menurut Reuters, kebanyakan pasaran ekonomi baharu muncul dan mata wang Asia diniagakan bercampur-campur memandangkan pelabur mengambil kira data ekonomi dari AS dan China. 

 

Ini berikutan data pengeluaran dan runcit AS yang stabil diikuti pertumbuhan ekonomi suku pertama di China dan kebimbangan peningkatan jangkitan COVID-19.- DagangNews.com