Kelab Akhbar Kebangsaan lancarkan Anugerah Muhibbah-MACROKIOSK promosi semangat muhibah di negara ini | DagangNews Skip to main content

Kelab Akhbar Kebangsaan lancarkan Anugerah Muhibbah-MACROKIOSK promosi semangat muhibah di negara ini

KUALA LUMPUR 6 April – Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC), bersama syarikat platform rumusan perusahaan MACROKIOSK, melancarkan Anugerah Muhibbah NPC-MACROKIOSK bagi mengiktiraf mana-mana individu atau organisasi yang menunjukkan semangat Muhibah terbaik di Malaysia.

 

Anugerah bulanan ini akan diberikan kepada pemenang yang dipilih oleh panel yang terdiri daripada editor media dan wartawan kanan.

 

Pemenang bulanan (individu/organisasi) berpeluang membawa pulang RM2,000. Pemenang juga akan menerima baucar daripada jenama teh gaya hidup serantau terkemuka Tealive, jenama pasaran gaya-hidup segar terkemuka di Malaysia Jaya Grocer dan jenama yogurt asli terkenal llaollao.

 

Presiden NPC, Datuk Ahirudin Attan berkata sudah tiba masanya bagi rakyat Malaysia untuk merenung dan mencerminkan teras kenegaraan.

 

“Sebagai Kelab Akhbar Kebangsaan yang ahli-ahlinya terdiri daripada pelbagai pengamal media, kami menyedari bahawa semangat muhibahlah yang menyatukan kita sebagai satu bangsa.

 

“Maka, kami yakin bahawa inilah masa untuk mengiktiraf dan mengurniakan ganjaran kepada sesiapa sahaja yang menjiwai semangat muhibah, sama ada individu atau organisasi,” katanya pada majlis pelancaran siri anugerah itu di Rumah Kelab NPC di Jalan Tangsi, Kuala Lumpur malam tadi.


 

parafrasa
Dari kiri, Carol Wee, Naib Presiden Jenama & Strategi Loob Holding Sdn Bhd. (Tealive); Datuk Ahirudin Attan (tengah)  dan Dato’ Kenny Goh pada majlis pelancaran siri anugerah itu di Rumah Kelab NPC pada 5 april 2023.

 


Ahirudin berkata beliau bersemangat untuk melihat mereka-mereka yang bermurah hati dan berdedikasi ini dapat memajukan masyarakat dan kesejahteraan sehingga tumbuhan dan haiwan yang memerlukan sekalipun akhirnya mendapat perhatian yang sewajarnya.

 

“Banyak bantuan yang tidak berkepentingan berada di luar radar, dan kami merasakan jasa mereka wajar diberi perhatian dan ganjaran. Kami berharap siri anugerah ini akan menjadikan Malaysia serta warganya lebih kuat, lebih berdaya tahan, dan lebih bersatu,” dia menambah.

 

Dalam menyokong inisiatif bersama ini, Ketua Pegawai Eksekutif MACROKIOSK, Dato’ Kenny Goh, bersetuju bahawa sudah tiba masanya untuk mengiktiraf dan menghargai jasa baik individu-individu atau organisasi yang bersemangat muhibah.

 

“Anugerah ini bertujuan untuk menggalakkan nilai-nilai murni dan persahabatan serta sikap cakna akan satu sama lain tanpa mengira bangsa, agama dan kewarganegaraan serta menunjukkan rasa prihatin yang mendalam kepada tumbuh-tumbuhan dan haiwan.

 

 “Kami juga berharap apabila berita mengenai anugerah ini tersebar, ia akan menginspirasikan lebih ramai orang, sama ada rakyat Malaysia atau warga luar negara yang tinggal di Malaysia, untuk hidup bersama dalam semangat Muhibah.

 

 “Walaupun MACROKIOSK beroperasi menerusi 12 pejabat global, yang menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan dari 37 negara, Malaysia tetap di hati kami dan kami meraikan kepelbagaian agama, budaya dan tradisi semua kakitangan, pelanggan serta rakan kongsi kami melalui semangat muhibah Malaysia,” katanya.


 

parafrasa

 


Pencalonan boleh dibuat ke alamat e-mel [email protected] atau melalui pautan WhatsApp iaitu https://chat.whatsapp.com/K739FdIOnqCCti0aOGnFFv atau dengan mengimbas Kod QR yang disediakan. - DagangNews.com