Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 21 Okt. - Lonjakan kemasukan pelabur runcit dalam pasaran saham di Bursa Malaysia mendorong KLCI dibuka tinggi hari ini.
Setakat 9 pagi, KLCI meningkat sebanyak 0.11 mata atau 0.1%, mencecah paras 1,511.08.
Rakuten Trade Research menjangkakan Bursa Malaysia melonjak hari ini berikutan penjualan lewat semalam.
“Kami berpendapat pasaran hari ini akan kekal positif didorong kemasukan runcit akhir-akhir ini.
“Oleh itu, indeks penanda aras mungkin berlegar dalam lingkungan 1,515 hingga 1,520,” kata Rakuten Trade dalam nota kajian pasaran hariannya.
Dalam nota kajiannya sebelum ini, Rakuten Trade mendapati kemasukan pelabur runcit mula meningkat sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Lembah Klang.
Dalam pada itu, pasaran serantau pula mungkin didagangkan tidak menentu susulan turun dan naik dagangan di Wall Street.
Menurut Reuters, saham Asia dijangka meraih lonjakan sederhana selepas terdapat keyakinan semula terhadap pakej rangsangan Amerika Syarikat (AS).
Saham Australia dibuka sedikit tinggi, manakala MSCI mendatar.
Niaga hadapan Nikkei Jepun pula meningkat 0.25%.
“Hari ini (saham didagangkan) bercampur-campur.
“Pelabur sedang ‘menghadam’ potensi rang undang-undang rangsangan dan pasaran berhati-hati dengan perkara itu,” kata Ahli Ekonomi Kanan di CommSec, Ryan Felsman. - DagangNews.com