Kementerian Ekonomi bangunkan kertas dasar kurangkan AP, IP bagi turunkan harga barang - Rafizi | DagangNews Skip to main content

Kementerian Ekonomi bangunkan kertas dasar kurangkan AP, IP bagi turunkan harga barang - Rafizi

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Kementerian Ekonomi sedang membangunkan satu kertas dasar untuk mengkaji dan mencadangkan kepada kerajaan bagi mengurangkan permit diluluskan (AP) dan import permit (IP) membabitkan keseluruhan sektor bagi menurunkan harga barangan khususnya import.

 

Menterinya, Rafizi Ramli berkata, kertas dasar itu dijangka dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) seawal Oktober ini.

 

Beliau berkata, kementerian perlu berhati-hati dalam menyediakan kertas dasar itu kerana pihaknya perlu memastikan pengurangan AP dan IP tidak menjejaskan bekalan makanan dalam negara.

 

“Kedua-dua (AP dan IP) perlu dikaji secara terperinci dan kementerian sudah mengambil masa lima, enam bulan (untuk mengkaji). Ia tidak boleh dihapus terus kerana kita harus lihat keseluruhan rantaian bagi memastikan tiada gangguan (bekalan).

 

“Contohnya, kalau ada barangan yang ada dua atau tiga pengimport sahaja, tetapi kalau kita hapus terus (AP dan IP) dan pasaran atau industri tidak bersedia lagi untuk memastikan ada pemain baru, itu akan menyebabkan ada gangguan kepada bekalan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini, lapor Bernama.

 

Rafizi  berkata, dengan keputusan dasar yang akan dicapai di peringkat kerajaan, kementerian berharap kadar inflasi akan terkawal dan akan dapat menurunkan harga barangan khususnya barangan import.

 

"Terdapat juga ruang untuk memperbaiki peraturan anti monopoli dan persaingan untuk memastikan pasaran lebih kompetitif. Dengan meningkatkan persaingan, harga barangan dan perkhidmatan akan menjadi lebih berpatutan.

 

“Pendekatan ini akan dilaksanakan dalam cara yang inklusif, berkesan dan berkekalan untuk memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.

 

Sementara itu, Rafizi berkata kadar inflasi dalam negara pada Julai 2023 terus mereda kepada dua peratus berbanding 2.4% pada bulan sebelumnya, mencatatkan penurunan 11 bulan berturut-turut.

 

Beliau berkata kadar inflasi Julai 2023 adalah kadar inflasi terendah dalam setahun, mencerminkan trend harga semakin stabil yang berterusan dengan kategori makanan dan minuman bukan alkohol menyumbang bahagian terbesar perubahan inflasi pada kadar 4.4%.

 

Katanya, pengawalan kadar inflasi adalah antara keutamaan kerajaan dalam memastikan inflasi yang tidak terkawal atau inflasi yang meningkat secara drastik dan tidak terkawal, tidak berlaku.

 

“Kadar inflasi yang tinggi secara berterusan akan menghakis kuasa beli rakyat kerana harga barangan dan perkhidmatan akan naik, tetapi pendapatan tidak semestinya naik pada kadar yang sama.

 

“Ini bermakna rakyat akan berhadapan dengan kesukaran untuk memenuhi keperluan asas mereka, apatah lagi untuk menabung atau membuat pelaburan. Kuasa ekonomi rakyat akan terjejas, membawa kepada potensi ketidakstabilan sosial,” katanya. - DagangNews.com