KUALA LUMPUR 19 April – Langkah progresif Kerajaan Malaysia ke arah mengawal selia industri vape telah terbantut di mana pembuatan dan pengimportan produk vape dengan nikotin masih diharamkan dan tidak dibenarkan, kata badan pemikir tempatan Datametrics Research and Information Centre Sdn. Bhd (DARE) hari ini.
Berdasarkan Perintah Larangan Import 2023 Jabatan Kastam yang diwartakan baru-baru ini seperti yang disemak oleh DARE, badan pemikir itu berkata Perintah itu menyekat pemain industri vape tempatan daripada mengimport cecair vape yang mengandungi nikotin dan pengimportan nikotin untuk mengeluarkan cecair vape melainkan mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (MOH), walaupun telah dikecualikan daripada Akta Racun.
Pengarah Urusan DARE, Pankaj Kumar berkata, "Sememangnya, ini adalah 'larangan pintu belakang' yang terancang. Keseluruhan rantaian bekalan dan ekosistem runcit dalam industri vape akan terhenti dengan sekatan ini".
"Tanpa sebarang tindakan untuk menangani perkara ini dengan cepat dan jelas, pemain industri tidak akan dapat mengeluarkan dan mengimport produk secara sah. Ini akan menyebabkan industri vape kembali kepada status quo, iaitu terus beroperasi di bawah tanah,” tambahnya.
Pankaj juga berkata keadaan itu akan menyebabkan Kerajaan Malaysia terlepas peluang daripada mengutip hasil cukai eksais sehingga RM1 bilion setahun.
"Kerajaan tidak akan dapat mengutip hasil cukai dalam keadaan ini dan produk akan terus dijual tanpa sebarang cukai dan peraturan."
Untuk menangani perkara ini, DARE menggesa KKM supaya membatalkan sekatan tersebut dengan segera memandangkan Kerajaan telah pun mengecualikan cecair vape yang mengandungi nikotin daripada Akta Racun.
"Kerajaan telah pun mengecualikan cecair vape yang mengandungi nikotin daripada Akta Racun dan KKM tidak seharusnya terus mengenakan sekatan atau sebarang larangan terhadap cecair vape yang mengandungi nikotin," kata Pankaj.
Pankaj juga berkata Kementerian Kesihatan perlu mengambil langkah untuk segera meminda undang-undang semasa bagi memperkenalkan peraturan bagi mengawal selia produk vape kerana ini akan memastikan produk yang dijual di pasaran adalah selamat, terjamin dan berkualiti.
“Ini bagi membolehkan Kerajaan memperkenalkan kawalan, terutamanya ke atas produk vape bagi memastikan pengguna mempunyai akses kepada produk terkawal dan untuk mengelakkan produk jatuh ke tangan individu di bawah umur 18 tahun,” kata Pankaj.
DARE juga berkata bahawa KKM harus mengambil langkah untuk menerima pengurangan bahaya tembakau dan melihat produk vape sebagai satu cara untuk membantu mengurangkan kelaziman merokok di Malaysia seperti yang dilihat di negara lain yang menggunakan pendekatan yang sama ke arah masyarakat bebas asap rokok.
Pankaj berkata, "Sweden bersedia untuk menjadi negara 'Bebas Asap Rokok' pertama di Eropah kerana ia berada di landasan untuk melihat kadar kelaziman merokok menurun di bawah 5%. Dilaporkan bahawa kejayaan besar ini dicapai dengan mengamalkan strategi pengurangan bahaya tembakau yang menerima produk bebas asap seperti vape sebagai alternatif yang kurang berbahaya.”
“Malaysia harus mengambil iktibar untuk menerima pengurangan bahaya tembakau. Contoh dari negara lain telah pun menunjukkan vape berpotensi untuk mengurangkan kelaziman merokok. Adalah penting untuk kita mengambil pendekatan berasaskan bukti yang telah terbukti berjaya mengurangkan kelaziman merokok di Malaysia,” tambahnya.
Dalam kajian yang diterbitkan oleh DARE, ‘Clearing The Smoke: Tobacco Harm Reduction’’, vape boleh mengurangkan populasi perokok di Malaysia kepada 4.0 juta menjelang 2025 daripada 5 juta setakat ini melalui peraturan yang sesuai dan menggalakkan perokok beralih kepada alternatif yang kurang berbahaya ini.
Kajian itu menganggarkan vape akan membantu negara mengurangkan perbelanjaan penjagaan kesihatannya untuk merawat penyakit berkaitan merokok sebanyak RM1.3 bilion pada 2025 sahaja. - DagangNews.com