KUALA LUMPUR 7 Julai - Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk sekali lagi menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus dalam tempoh yang singkat dijangka akan memberi kesan kepada kuasa berbelanja rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah, kata Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) Profesor Geoffrey Williams.
Beliau berkata kenaikan tersebut akan menyebabkan golongan berpendapatan rendah yang mempunyai gadai janji untuk dibayar berasa terkesan dengan langkah terbaru bank pusat tersebut.
"BNM telah membuat kajian dan menurut analisis mereka, ekonomi negara kini semakin menghampiri fasa normal dan walaupun terdapat cabaran dari aspek global, mereka masih mengekalkan sasaran awal mereka.
"Jadi BNM pada asasnya menggunakan fasa pemulihan ini untuk menentukur semula OPR ke tahap yang lebih normal," beliau memberitahu DagangNews hari ini.
Ditanya jika BNM mempunyai sasaran peratusan OPR, Williams berkata beliau menganggarkan bahawa BNM tidak menetapkan sebarang sasaran untuk kadar tersebut, bagaimanapun BNM percaya bahawa ekonomi boleh menampung kesan kenaikan itu dan peningkatan kos pinjaman adalah berpatutan.
"Peningkatan kos pinjaman adalah berpatutan walaupun kepada pinjaman kadar faedah berubah-ubah dan walaupun kebanyakan pinjaman bank melibatkan golongan B40," kata beliau lagi.
Beliau yang menghadiri taklimat BNM turut mengatakan bahawa BNM menganggap kadar faedah yang rendah merupakan kadar "krisis" dan tidak wajar berada pada tahap yang sama apabila ekonomi menunjukkan bahawa ia semakin pulih.
"Kadar faedah yang lebih tinggi akan menjadi cara yang berkesan sebagai alat dasar," ujar beliau lagi.
Mengulas tentang inflasi, Williams berkata bank pusat itu juga tidak melihat inflasi sebagai isu utama dan mereka mengekalkan unjuran inflasi antara 2.2 peratus hingga 3.2 peratus.
"Saya bersetuju bahawa kita berada pada atau hampir mencapai inflasi puncak dan seterusnya tekanan harga barangan akan berkurangan.
"Bekalan makanan dan minyak sawit sudah bertambah baik dan harga juga jatuh. Jadi kita lihat inflasi dalam julat dua peratus hingga tiga peratus," kata beliau lagi.
Semalam Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bank pusat memutuskan untuk menaikkan OPR yang menjadi penanda aras pinjaman dan tabungan iaitu sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus kepada 2.25 peratus.
Ia kenaikan kedua berturut-turut tahun ini selepas BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus semasa mesyuarat terakhirnya Mei lalu. - DagangNews.com