Kenanga Investment Bank Lantik Tan Sri Syed Anwar Jamalullail sebagai Pengerusi   | DagangNews Skip to main content

Kenanga Investment Bank Lantik Tan Sri Syed Anwar Jamalullail sebagai Pengerusi  

Kenanga

 

KUALA LUMPUR 1 Julai 2020 - Kenanga Investment Bank Berhad mengumumkan pelantikan Pengerusi baharunya, Tan Sri Syed Zainol Anwar Ibni Syed Putra Jamalullail, berkuat kuasa pada 1 Julai 2020. Beliau menggantikan Izlan Izhab.

Tan Sri Syed Anwar Jamalullail juga merupakan Pengerusi Nestle (Malaysia) Berhad, Pengerusi Jawatankuasa Pencalonan dan Pampasan serta ahli Jawatankuasa Audit bagi syarikat tersebut.

Kenanga
Syed Anwar Jamalullail
 

Selain itu, beliau juga merupakan Pengerusi S P Setia Berhad dan Pengerusi Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan bagi syarikat yang sama, di samping Pengerusi Lembaga Zakat Selangor serta Canselor Universiti SEGi.

Sebelum ini, beliau pernah menjawat jawatan Pengerusi bagi syarikat Cahya Mata Sarawak Berhad, EON Bank Berhad, Uni Asia Life Assurance Berhad, Uni Asia General Insurance Berhad, DRB-Hicom Berhad, Malaysia Airports Holdings Berhad, Malakoff Corporation Berhad, Media Prima Berhad, Malaysian Resources Corporation Berhad, Panel Pelaburan Lembaga Tabung Haji dan Pulau Indah Ventures Sdn Bhd.

Bukan itu sahaja, beliau merupakan mantan Pengerusi Eksekutif Realmild (M) Sdn Bhd dan Radicare (M) Sdn Bhd. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bebas Maxis Communications Berhad dan Bangkok Bank Berhad.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Encik Izlan atas kepimpinan beliau dalam Lembaga Pengarah sejak 2017 dan saya berasa teruja untuk bekerjasama dengan Ahli Lembaga Pengarah serta Pasukan Pengurusan Kenanga Investment Bank dalam membentuk kejayaan yang berterusan buat syarikat," kata Syed Anwar Jamalullail.

Pengarah Urusan Kumpulan, Kenanga Investment Bank, Datuk Chay Wai Leong berkata, bagi pihak Kenanga Investment Bank, beliau mengalu-alukan kehadiran Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dalam Lembaga Pengarah bank.

“Pengalaman, pengetahuan dan kepimpinan Tan Sri yang luas bakal memberikan Kenanga Investment Bank momentum yang berterusan dalam memacu inovasi, memangkin pertumbuhan masa hadapan dan mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai bank pelaburan bebas yang terbesar di negara ini,” kata

Sementara itu, Izlan menzahirkan sekalung tahniah kepada Tan Sri Syed Anwar Jamalullail atas pelantikan baharu tersebut dan yakin di bawah pimpinan Tan Sri Syed Anwar Jamalullail, Kenanga Investment Bank dan kumpulan syarikatnya akan terus melakar kejayaan.

“Saya ingin berterima kasih kepada Pengasas dan Penasihat Kenanga, Tan Sri Tengku Noor Zakiah Tengku Ismail, barisan Ahli Lembaga Pengarah, para pemegang saham dan pelabur atas kepercayaan serta sokongan yang diberikan sepanjang tempoh saya berkhidmat,” ujarnya.

Izlan mula menyertai Lembaga Pengarah Kumpulan Kenanga pada 2008 dan kemudian dilantik sebagai Pengerusi Kenanga Investment Bank pada Februari 2017. Beliau akan terus berkhidmat sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Kenanga Investment Bank dan Kenanga Futures Sdn Bhd. – DagangNews.com