KUALA LUMPUR 6 Sept - Kenanga Research menjangkakan persekitaran operasi sarung tangan getah kekal mencabar pada suku akan datang kesan daripada lebihan bekalan yang besar.
Firma penyelidikan itu berkata, situasi lebihan bekalan akan mula menyederhana secara beransur-ansur berikutan tanda-tanda pemain mengurangkan kapasiti pengeluaran melalui penutupan kilang terpilih.
"Berdasarkan anggaran kami, situasi permintaan-bekalan hanya kembali seimbang pada 2025.
"Keadaan itu adalah selepas hampir tiada lagi kilang baharu sementara permintaan global untuk sarung tangan terus meningkat sebanyak 15% setahun disokong oleh peningkatan kesedaran kebersihan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) mengunjurkan pertumbuhan 12% hingga 15% dalam permintaan global untuk sarung tangan getah setiap tahun bermula 2023, berikutan anggaran penguncupan 19% kepada 399 bilion keping pada 2022.
Mereka percaya keseimbangan bekalan-permintaan mungkin kembali dalam tempoh enam hingga sembilan bulan.
Bagaimanapun Kenanga Research berbeza pandangan dengan jangkaan lebihan kapasiti akan berterusan sekurang-kurangnya bagi tempoh 12 bulan akan datang.
Firma penyelidikan itu mengunjurkan permintaan untuk sarung tangan meningkat sebanyak 15% pada 2023, yang selaras dengan ramalan MARGMA.
"Ini akan menghasilkan lebihan kapasiti sebanyak 112 bilion keping (bukannya meningkat sebanyak 4% atau 116 bilion keping seperti yang diramalkan sebelum ini) yang sama dengan 2022.
"Walaupun bertambah baik, lebihan kapasiti masih berterusan yang bermakna harga rendah dan penggunaan kilang yang tertekan akan terus melanda industri pada 2023.
"Kami menyemak naik penarafan sektor itu kepada 'neutral' daripada 'underweight' bagi sektor itu," katanya.- DagangNews.com