Kenanga Research semak naik pendapatan MBSB sebanyak 14% kepada RM539.5 juta bagi FY24 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research semak naik pendapatan MBSB sebanyak 14% kepada RM539.5 juta bagi FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Kenanga Research menyemak naik unjuran pendapatan Malaysia Building Society Berhad (MBSB) sebanyak 14% kepada RM539.5 juta bagi FY24 merangkumi suntikan pendapatan sebanyak RM40 juta daripada Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF).

 

MIDF mencatatkan pendapatan sebanyak RM77.2 juta dan RM76.4 juta bagi FY20 dan FY22.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, unjuran pendapatan itu mungkin terkesan oleh campuran margin faedah yang lebih lemah seperti MBSB.

 

Julai lalu, MBSB mendapat kelulusan daripada pemegang sahamnya untuk mengambil alih MIDF daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada harga RM1.01 bilion menerusi terbitan 1.05 bilion saham pada 96.52 sen sesaham.
 

Pengambilalihan itu dijangka siap pada bulan ini, MIDF akan menjadi unit MBSB dan PNB akan muncul sebagai pemegang saham besar 12.78% MBSB.

 

Kenanga Research berkata, nilai urus niaga mungkin berada pada tahap yang lebih tinggi dengan perbelanjaan PNB kerana MBSB didagangkan pada 0.5 kali sebelum urus niaga.
 

"Dengan penggabungan itu, MBSB akan membentuk sebuah bank lengkap dengan perkhidmatan perbankan hujung ke hujung yang lengkap," katanya dalam satu  nota kajian, hari ini.

 

Katanya, peningkatan keupayaan perbankan korporat dan pelaburan yang lebih luas boleh menjadikan MBSB sebagai pembiaya yang lebih menjadi pilihan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat besar.
 

Firma penyelidikan itu menambah bahawa unit pengurusan aset baharu boleh membuka tawaran pengurusan kekayaan kepada pelanggan runcit.
 

Berdasarkan rekod pada 1QFY23 masing-masing, 71% daripada portfolio pembiayaan MBSB terdiri daripada perbankan runcit manakala MIDF berada pada 33%, oleh itu, jumlah portfolio pembiayaan MBSB berjumlah RM39.2 bilion berbanding RM2 bilion daripada MIDF.

 

Kenanga Research berkata, meskipun memiliki operasi yang cekap namun mereka memerlukan sekurang-kurangnya setahun sebelum dapat melaksanakan strategi pertumbuhan yang dinyatakan di atas.
 

"Kejayaan itu meyaksikan mereka semakin hampir untuk merekodkan pulangan ke atas ekuiti (ROE) dua angka," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) 67 sen sesaham. - DagangNews.com