KUALA LUMPUR 8 Dis - Kenanga Research menyemak naik ujuran pendapatan Wah Seong Corporation Berhad bagi FY23 sebanyak 12% selepas mengambil kira kejayaan kumpulan itu mendapatkan projek baharu bernilai AS$127.09 juta (RM557.65 juta).
Firma itu positif terhadap kumpulan itu sambil melihat kontrak itu adalah yag terbesar setakat ini dan akan menjadi projek kedua terbesar di dalam senarai kerja mereka.
Katanya, projek itu juga dijangka meningkatkan nilai kontrak keseluruhan sebanyak RM3.5 bilion.
"Secara keseluruhannya, kami menyukai kumpulan itu kerana menjadi penerima manfaat besar daripada kebangkita semula perbelanjaan pembangunan minyak dan gas global.
"Kumpulan itu juga berjaya menguasai bahagian pasaran kedua terbesar dalam ruang salutan paip global dan beroperasi dalam duopoli maya selain mencatatkan keuntungan memandangkan nilai kontrak semasanya kukuh selain berada pada paras tertinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu berjaya mendapatkan kontrak pembekalan modul penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung (FPSO) tertentu daripada Yinson Holdings Berhad.
Anak syarikatnya, WS Engineering & Fabrication Pte Ltd telah dianugerahkan kontrak oleh unit Yinson, Yinson Azalea Production Pte Ltd.
Skop kerja melibatkan kejuruteraan, perolehan dan pembinaan modul bahagian atas FPSO dan perkhidmatan itu dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.
Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) 89 sen sesaham.
Bagaimanapun, kumpulan itu akan berdepan pelbagai risiko termasuk risiko pelaksanaan selain pertambahan projek yang lebih lemah daripada jangkaan.
"Mereka juga berdepan risiko peningkatan kos projek yang tidak dijangka selain faktor geopolitik," katanya. - DagangNews.com