KUALA LUMPUR 10 Ogos - Kenanga Research mengunjurkan kerugian bersih Hatalega Holdings Berhad pada FY24 meningkat sebanyak 28% kepada RM105 juta selepas mereka mengurangkan kadar penggunaan kepada 35% berbanding 40%.
Firma penyelidikan menjangkakan persekitaran operasi kekal mencabar pada suku berikutnya dibelenggu oleh lebihan bekalan yang besar.
Bagaimanapun, mereka menjangkakan situasi lebihan bekalan akan beransur-ansur pulih berikutan pengurangan kapasiti pengeluaran melalui penutupan kilang terpilih.
"Kumpulan itu sedar bahawa prospek untuk meningkatkan lagi purata harga jualan (ASP) pada suku berikutnya adalah mencabar berikutan situasi lebihan kapasiti dengan hanya segelintir pelanggan bersetuju setakat ini.
"ASP dijangka lebih rendah dalam dua suku akan datang berikutan penurunan harga gas asli.
"Disebabkan tekanan persaingan semasa yang berpunca daripada lebihan bekalan dan penggunaan industri yang rendah dengan purata 40%, pelanggan memilih untuk membeli daripada pengeluar lain apabila terdapat percubaan untuk menaikkan harga," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu mengunjurkan permintaan untuk sarung tangan meningkat sebanyak 15% pada 2023 selaras dengan unjuran Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).
Dari segi penawaran, mereka memfaktorkan pengurangan sebanyak 24 bilion keping sarung tangan dalam sistem menjelang akhir FY23.
"Ia akan menghasilkan lebihan kapasiti sebanyak 112 bilion kepingsama seperti 2022.
"Walaupun bertambah baik, lebihan kapasiti masih berterusan yang bermakna harga rendah dan penggunaan kilang yang tertekan akan terus melanda industri pada tahun ini," katanya.
Kenanga Research mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.85 sesaham. - DagangNews.com