KUALA LUMPUR 21 Ogos - Kenanga Research mengunjurkan Bank Negara Malaysia (BNM) megekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras 3% untuk tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.
Firma penyelidikan itu berkata, unjuran itu adalah berdasarkan kadar penurunan inflasi utama dan teras secara berterusan.
Katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih lemah daripada jangkaan pada suku kedua tahun ini tidak mungkin mendorong bank pusat untuk memotong kadar faedah kerana kadar inflasi teras secara relatifnya meningkat berbanding purata jangka panjang.
"Memandangkan persepsi BNM bahawa pendirian dasar monetari semasa adalah sedikit akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi, peluang untuk mengurangkan kadar faedah tidak mungkin berlaku," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Mengulas mengenai prospek 2024, Kenanga Research menjangkakan trajektori pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kukuh pada paras 4.9%, didorong pemulihan ekonomi global yang lebih mampan dengan China dijangka menjadi pemacu permintaan luar yang lebih kukuh.
Firma penyelidikan itu berkata, komitmen kerajaan terhadap inisiatif pro-pertumbuhan berkemungkinan berterusan dan peningkatan kestabilan politik berikutan pilihan raya negeri boleh meningkatkan keyakinan dalam kalangan pelabur asing.
"Walaupun prospek pertumbuhan global mungkin lebih berdaya tahan kerana bank pusat utama mungkin cenderung kepada penurunan kadar, risiko penurunan yang berlarutan berterusan.
"Ini berpunca daripada isu geopolitik yang berterusan, seperti konflik Russia-Ukraine, serta hubungan tegang antara Amerika Syarikat (AS), China dan Taiwan," katanya.
Katanya, perkembangan ekonomi dijangka sederhana pada separuh kedua tahun ini, dirangsang oleh daya tahan permintaan domestik memandangkan pasaran tenaga kerja kekal teguh.
Ini berkemungkinan disokong oleh pemulihan berterusan dalam aktiviti pelancongan dan pelaksanaan berterusan projek pelaburan jangka panjang.- DagangNews.com