KUALA LUMPUR 6 Dis - Selepas mencatatkan keputusan cemerlang bagi 1HFY22, keputusan 3QFY22 sektor perladangan kebanyakannya berada di bawa unjuran AmInvestment Bank Research.
Hanya beberapa syarikat sahaja berjaya memenuhi ramaln firma itu antaranya FGV Holdings, IOI Corporation dan Kuala Lumpur Kepong (KLK).
Firma itu berkata, harga minyak sawit mentah (MSM) yang rendah dan peningkatan kos pegeluaran pada 3QFY22 memberi kesan yang besar manakala Sime Darby Plantation berdepan kekurangan tenaga kerja yang menyebabkan kerugian sebanyak RM145 juta bagi bahagian perniagaan huluan Malaysia.
Katanya, kos pengeluaran Sime Darby di Malaysia meningkat kepada RM3,000 setiap tan pada 9MFY22 berbanding RM1,900 bagi setiap tan pada 9MFY21 manakala Genting Plantation merekodkan kenaikan kepada RM2,690 setiap tan pada 3Q2022 daripada RM2,290 satu tan pada 2QFY22.
"Pendapatan sektor kukuh pada 1HFY22 kerana kenaikan kos pengeluaran diimbangi oleh harga MSM yang teguh.
"Bagaimanapun semuanya terjejas selepas harga MSM merosot pada 3QFY22 ditambah dengan kos upah dan harga baja yang lebih tinggi.
"Kami percaya kos baja akan meningkat dua kali ganda pada penghujung 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, syarikat di bawah liputannya merekodkan kenaikan antara 3.7% hingga 16.4% dari suku ke suku bagi pengeluaran buah tandan segar (BTS) pada 3QFY22.
Katanya, kenaikan itu adalah selaras dengan faktor musim dan percaya penghasilan buah segar memuncak pada Oktober 2022.
"KLK mencatatkan peningkatan tertinggi dalam pengeluaran BTS sebanyak 16.4% pada 3QFY22 manakala pertumbuhan keluaran BTS Sime Darby adalah yang paling kecil pada 3.7%," katanya.
Firma itu kekal 'neutral' terhadap sektor itu selain percaya bekalan sawit akan meningkat pada 2023 dan akan mengekang kenaikan MSM.
"Keluaran MSM di Malaysia dijangka meningkat dengan kehadiran jumlah tenaga kerja yang tinggi manakala penghasilan BTS di Indonesia juga akan pulih pada 2023," katanya. - DagangNews.com