KUALA LUMPUR 4 Ogos - Keputusan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG) 2020 dalam proses akhir untuk dimuktamadkan dan dijangka dikeluarkan sebelum akhir bulan ini.
Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia (Lembaga) dalam kenyataan media, berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 1 Jun lalu menyebabkan proses memuktamadkan keputusan PSAG terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.
Menurut kenyataan, kelewatan memuktamadkan keputusan itu, pertama kali berlaku sejak PSAG diadakan pada 1984 dan terjadi disebabkan keadaan tidak pernah berlaku (unprecedented) dan di luar kawalan Lembaga.
"Pelaksanaan PKP menyebabkan kakitangan Lembaga diarahkan untuk bekerja dari rumah dan atas sebab kerahsiaan, proses memuktamadkan keputusan terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.
"Lazimnya dalam keadaan biasa, Lembaga mengambil masa antara dua setengah bulan hingga tiga bulan bagi memproses dan mengeluarkan keputusan PSAG.
"Lembaga memahami ramai calon teruja memulakan amalan guaman mereka bagaimanapun kami kini menjalankan tugas dalam kekangan luar biasa dan integriti PSAG menjadi keutamaan dan tidak sekali akan berkompromi dengan standard PSAG," katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan berikutan Lembaga berdepan kritikan ibu bapa, calon dan juga pensyarah institusi pengajian tinggi swasta berhubung kelewatannya mengeluarkan keputusan PSAG dan penangguhan PSAG.
Menurut Lembaga, penjelasan mengenai kelewatan itu sudah diberikan melalui kenyataan yang dimuat naik di portal rasminya, Jun lalu.
Dalam masa sama, Lembaga menjelaskan proses mengeluarkan keputusan PSAG bukan hanya menandakan, menjumlahkan markah dan memasukkannya ke dalam sistem sebagaimana difikirkan oleh ramai calon.
"Proses itu adalah sangat rumit memandangkan ia dikawal selia oleh protokol ketat yang ditetapkan Lembaga bagi memelihara integriti, kredibiliti dan ketepatan keputusan PSAG.
"Kesemua proses perlu dilakukan dengan kehadiran secara fizikal kakitangan Lembaga di Pejabat Lembaga di bawah seliaan ketat Pengarah PSAG," katanya. - DagangNews.com