Kerajaan ada bukti cukup, kenakan duti anti-lambakan sementara ke atas 3 negara | DagangNews Skip to main content

Kerajaan ada bukti cukup, kenakan duti anti-lambakan sementara ke atas 3 negara

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mendapati bahawa terdapat bukti yang mencukupi untuk meneruskan siasatan terhadap pengimportan produk (dagangan subjek) dari China, Korea Selatan dan Vietnam. 

Siasatan itu melibatkan produk gulungan rata keluli bukan aloi disadur atau disalut aluminium dan zink yang dilakukan di bawah Seksyen 23 Akta Duti Timbal Balas dan Anti Lambakan 1993.

Dalam masa sama, ketiga-tiga negara berkenaan turut dikenakan duti anti-lambakan sementara berbentuk jaminan bank, bersamaan dengan nilai margin lambakan yang telah dikenal pasti dalam penentuan awal.

MITI dalam kenyataannya memberitahu, duti anti-lambakan sementara di antara 2.17% hingga 37.14% akan dikenakan ke atas import dagangan subjek dari negara-negara berkenaan.

Baca : MITI siasat lambakan import, kenakan duti kepada enam negara

Tindakan itu berkuat kuasa bagi tempoh tidak melebihi 120 hari mulai 14 Ogos 2020. 

“Penentuan muktamad akan dibuat tidak lewat daripada 11 Disember 2020. 

“Pihak berkepentingan seperti pengimport, pengeluar atau pengeksport asing dan persatuan-persatuan berkaitan dengan penyiasatan boleh mendapatkan salinan versi tidak sulit laporan mengenai Penentuan Awal dengan membuat permohonan bertulis kepada MITI di alamat berikut.

“Seksyen Amalan Perdagangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Aras 9, Menara MITI, No. 7, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah, 50480 Kuala Lumpur,” jelas MITI. 

Penyiasatan itu turut melibatkan peruntukan Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 serta telah dimulakan pada 17 Mac 2020.

Tindakan itu diambil berdasarkan petisyen yang difailkan oleh NS Bluescope (M) Sdn. Bhd. (pempetisyen), mewakili industri tempatan yang mengeluarkan produk serupa. 

Pempetisyen mendakwa dagangan subjek yang berasal atau dieksport dari negara-negara berkenaan telah diimport ke Malaysia pada harga yang lebih rendah daripada harga yang dijual di pasaran domestik negara-negara tersebut. 

Pempetisyen mendakwa keadaan ini telah menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia. - DagangNews.com