Kerajaan batal beli meriam Turkiye, persaingan perolehan Sistem Artileri untuk Tentera Darat kini terbuka  | DagangNews Skip to main content

Kerajaan batal beli meriam Turkiye, persaingan perolehan Sistem Artileri untuk Tentera Darat kini terbuka 

Kos SPH Yavuz 155mm 52 kaliber buatan syarikat MKE dari Turkiye dianggarkan RM854 juta - satu jumlah yang terlalu besar.
Fokus Berita oleh ZAKI SALLEH

HASRAT Tentera Darat (TD) untuk mengoperasikan sistem artileri mudah gerak (SPH) tertangguh lagi apabila perolehan SPH 155mm Yavuz  dari Turkiye dibatalkan.

 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan mengesahkan perkara tersebut dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

 

Menurut beliau, Kementerian Kewangan pada 16 Januari lalu telah memutuskan bahawa cadangan perolehan SPH secara rundingan terus dibatalkan.

 

“Buat masa ini, Kementerian Pertahanan (MINDEF) bersama agensi pusat sedang berbincang untuk melaksanakan perolehan peralatan ini secara Government to Government,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor).

 

Saifulruddin sebelum itu meminta penjelasan dari Menteri Pertahanan berhubung perolehan 155mm Yavuz keluaran syarikat MKE.

 

Menurut beliau, kerajaan lalu telah mengeluarkan surat niat (LOI) untuk mendapatkan aset tersebut dari Turkiye.

 

Imbas kembali pada 19 Januari lalu, MINDEF  telah mengumumkan keputusan membatalkan lima perolehan membabitkan bekalan, perkhidmatan dan projek infrastruktur.

 

Ia sebagai langkah mengelak berlakunya ketirisan sekiranya perolehan-perolehan terbabit diteruskan.

 

Bagaimana pun, ketika itu tidak dinyatakan apakah lima perolehan tersebut dan kebarangkalian SPH adalah satu daripadanya.


 

parafrasa

 


Ini merupakan pembatalan kedua selepas rancangan TD untuk memperoleh sistem SPH terpakai dari Amerika Syarikat (AS) dibatalkan pada tahun 2019.

 

Usaha untuk mendapatkan 20 unit meriam terpakai M109A5 155mm SPH yang ditawarkan AS ini mula dibuat tiga tahun sebelum itu.

 

Perolehan SPH merupakan sebahagian daripada rancangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mempertingkatkan kuasa tembakan di darat.

 

Sekiranya menjadi kenyataan, perolehan 18 unit sistem SPH 155mm Yavuz ini akan menelan kos kira-kira RM854 juta meliputi pembelian kelengkapan serta pembinaan fasiliti yang berkaitan.

 

Sebelum ini, SPH 155mm Yavuz dikatakan menjadi pilihan TD setelah penilaian dilakukan termasuk teknologi semasa yang canggih.

 

Bagaimana pun, tender perolehan sistem SPH ini kemudiannya disahkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Dato' Seri Hishammuddin Hussein sebagai belum lagi dianugerahkan kepada mana-mana syarikat.

 

Ini kerana kata beliau, proses perbincangan  perolehan melibatkan peruntukan besar itu masih berjalan antara MINDEF dan MOF.

 

Perdana Menteri kerajaan sebelum ini, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob semasa lawatan ke Turkiye pada Julai tahun lalu telah menyaksikan majlis tandatangan tujuh memorandum persefahaman (MoU) bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Kompleks Presiden di Ankara.

 

Salah satunya adalah antara syarikat tempatan, MA Analytics Sdn. Bhd. (MA Analytics) dengan Makina Kimya Endustrisi Kurumu (MKE) bagi perolehan meriam tersebut.

 

 

parafrasa
Syarikat MA Analytics memeterai MoU dengan tiga buah syarikat Turkiye pada Pameran International Defence Industry (IDEF 2021) di Tuyap Fair.

 

 

Pembatalan perolehan SPH Yavuz ini menamatkan teka-teki ekoran perolehan yang dilakukan secara rundingan terus ini menimbulkan kontroversi.

 

Yavuz merupakan sistem artileri moden yang dikilangkan di Turkiye dengan teknologi canggih yang dipertingkatkan daripada meriam Panther 155mm yang digunakan Tentera Turkiye.

 

Sebuah unit lengkap meriam dan kenderaan mempunyai berat kira-kira 32 tan dan mampu bergerak selaju 90 kilometer (km) sejam di atas jalan dengan jarak operasi sehingga 600km.

 

Sistem Yavuz mampu melepaskan tembakan pada kadar empat hingga enam butir seminit dan menyimpan 18 butir peluru yang diisi secara semi automatik dan manual.

 

Dengan pembatalan perolehan tersebut, maka persaingan untuk membekalkan sistem SPH kembali terbuka.

 

Pada Pameran DSA 2022 lalu, syarikat pengeluar Perancis, Nexter telah meterai MoU dengan Advanced Defence Systems (ADS) bagi mempromosikan SPH CAESAR 6×6 kepada TD. 

 

 

irsyad

 

 

SPH CAESAR 6×6 merupakan sebuah sistem persenjataan yang telah teruji di medan perang serta digunakan tentera enam negara termasuk Thailand dan Indonesia.

 

Mengikut perancangan, TD perlu memiliki sekurang-kurangnya satu rejimen SPH yang dikendalikan oleh Rejimen Artileri Diraja.

 

Pemilikan sistem SPH adalah wajib setelah TD  mempunyai pasukan kereta kebal dan mekanise yang bergantung pada mobiliti serta perlu diatur gerak dengan cepat

 

Sepanjang tempoh 25 tahun lalu, beberapa sistem artileri SPH telah diuji TD bagi melihat kesesuaian termasuk pengoperasian di kawasan mencabar.

 

 

parafrasa
Versi awal sistem SPH Caesar semasa melakukan uji nilai di Malaysia sekitar tahun 1999.

 

 

Antaranya ialah sistem Caesar 155mm buatan Perancis, Denel G6 155mm (Afrika Selatan), K9 Thunder (Korea Selatan) dan Nexter CAESAR 6x6 (Perancis).

 

Kriteria yang ditetapkan pula hendaklah mempunyai berat antara 17 tan hingga 25 tan selain boleh dimuatkan ke dalam pesawat pengangkut. - DagangNews.com