KUALA LUMPUR 28 Ogos - Kerajaan berhasrat meneroka potensi hidrogen hijau sebagai bahan api alternatif ke arah mencapai agenda mobiliti hijau negara.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerajaan dengan kerjasama syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), akan meneroka prospek untuk memanfaatkan pembawa tenaga baharu itu dan kesan ekonominya.
"Kami berhasrat untuk memperkenalkan ekonomi hidrogen menerusi Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) yang disasar dilancarkan tahun ini.
"Ini termasuk bagaimana kita boleh menarik pelaburan ke arah pengeluarannya dan akhirnya membuka jalan untuk Malaysia menjadi hab eksport utama bagi hidrogen hijau menjelang 2027, kami melihat nilai dalam usaha sama bagi memacu peralihan itu secara domestik, serantau dan antarabangsa," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Seminar Peralihan Tenaga 2023, di sini hari ini, lapor Bernama.
Beliau berkata, tindakan peralihan tenaga dan perubahan ilkim memerlukan penglibatan dan sumbangan pelbagai sektor bagi memastikan kelangsungan kemajuan manusia.
"Kami berharap syarikat perniagaan dan persatuan sivil akan terus mengutamakan kelestarian dalam kerja mereka," katanya.
Megulas mengenai Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga (EECA) yang bakal dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang, Nik Nazmi berkata, pengguna elektrik dalam jumlah yang tinggi akan dikehendaki menjalankan audit tenaga dan keperluan yang lebih tinggi akan diberikan untuk bangunan mengikut saiz tertentu.
"Dan susulan pembaharuan tarif, sebahagian mereka telah mengambil inisiatif sendiri kerana mereka (pengguna tenaga elektrik tinggi) perlu membayar bil yang lebih tinggi.
"Jadi mereka telahpun mengambil langkah untuk menyimpan lebih banyak tenaga solar dan mengamalkan kecekapan tenaga," katanya.
Menyentuh mengenai perkembangan kerangka dasar unsur nadir bumi (REE), Nik Nazmi berkata, pihaknya akan memanggil satu jawatankuasa yang dipengerusikan beliau di bawah Majlis Mineral Negara dalam masa terdekat. - DagangNews.com