Kerajaan dituntut semak semula akta lapuk yang sekat kebebasan media di Malaysia - Johan Jaaffar | DagangNews Skip to main content

Kerajaan dituntut semak semula akta lapuk yang sekat kebebasan media di Malaysia - Johan Jaaffar

Johan Jaaffar (kiri) mempengerusikan sidang panel pengendali portal berita digital pada Forum Media Kebangsaan 2023 'Kemampanan Media: Melangkah ke Hadapan bagi Malaysia Pada Era Digital' anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) di Kuala Lumpur pada 25 Julai 2023. - Gambar DagangNews/Mohd Naim Firdaus
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 25 Julai - Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar menuntut supaya kerajaan memenuhi janji untuk menyemak semula akta-akta lapuk berkaitan profesion kewartawanan yang dilihat tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa.

 

Beliau berkata, ia berikutan terdapat beberapa perundangan dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang menyekat kebebasan media di negara ini.

 

"Saya mencadangkan supaya kerajaan memenuhi janji untuk memansuhkan akta (berkaitan profesion kewartawanan) tidak sesuai atau relevan yang boleh mengekang kebebasan media.

 

"Seperti yang saya sebutkan tadi, ia melibatkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. (Jadi) saya fikir kerajaan harus menunaikan janji dalam soal ini (semak semula akta lapuk)," katanya.

 

Johan berkata demikian dalam ucaptama pada Forum Media Kebangsaan 2023 'Kemampanan Media: Melangkah ke Hadapan bagi Malaysia Pada Era Digital' anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) di sini hari ini.

 

Pada Jun lalu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, kerajaan setakat ini tidak membincangkan isu pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.

 

Katanya, sekarang ini kerajaan menumpukan kepada pembentukan Majlis Media untuk membawa rang undang-undang berkaitan kepada peguam negara dan seterusnya Parlimen.

 

Johan turut mencadangkan supaya kerajaan melantik seorang wartawan menjadi Ahli Dewan Negara.

 

Katanya, ia bagi membolehkan suara komuniti itu lebih didengari, di samping sebagai penghormatan kepada golongan wartawan di negara ini.

 

Beliau juga mencadangkan supaya kerajaan melantik seorang Senator dalam kalangan wartawan kerana saya fikir ini adalah satu penghormatan yang patut diberikan kepada wartawan.

 

"Ini kerana kita memerlukan suara wartawan di Dewan Negara dan saya juga berasakan sudah sampai masanya juga untuk kerajaan memikirkan perkara ini (lantik seorang wartawan menjadi Ahli Dewan Negara)," katanya.- DagangNews.com