KUALA TERENGGANU 26 Jun – Kerajaan wajar mengambil iktibar daripada krisis bekalan gula yang berlaku di Pantai Timur semasa cuti Aidilfitri yang lalu dan berdasarkan laporan, krisis itu berpunca daripada permintaan tinggi selain penutupan sementara dua kilang pengeluar.
Kekurangan gula tersebut sepatutnya memberi amaran yang mencukupi kepada kerajaan bahawa idea monopoli tidak boleh dilayan. Duopoli sudah sukar, apa lagi monopoli.
Seorang penganalisis, Noorazlina Ahmad berkata, kerajaan harus menggalakkan persaingan dan fokus untuk membina kapasiti bagi menyokong industri berkembang, memaksimumkan potensi.
“Oleh itu, adalah penting agar perdana menteri memegang teguh iltizam untuk menghapuskan monopoli, supaya ia tidak mempersendakan kata-katanya dan menjejaskan kredibiliti kerajaan campuran,” katanya kepada DagangNews.com.
Beliau mengulas laporan media baru-baru ini yang menyatakan bahawa seorang ahli perniagaan terkemuka Malaysia yang mempunyai hubungan mendalam dengan kerajaan dan minat sedia ada dalam industri gula berminat untuk membeli daripada peneraju pasaran.
Noorazlina yang merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu berkata, tanpa monopolis, persaingan terbuka antara beberapa syarikat kelak akan mewujudkan satu ekosistem ekonomi yang lebih kondusif dan memberi manfaat yang besar kepada orang ramai sebagai pengguna di peringkat akhir.
Menurutnya, beberapa masalah yang biasa dikaitkan dengan isu monopoli di pasaran Malaysia ketika ini ialah syarikat tersebut mempunyai keupayaan untuk menetapkan harga tanpa menghadapi persaingan yang ketara.
Tambahnya, syarikat monopoli sering mengehadkan pilihan pengguna dengan menawarkan rangkaian produk atau perkhidmatan yang terhad, kurang inovasi dan kepelbagaian dalam pasaran.
"Selain itu, syarikat tersebut juga kurang motivasi untuk melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) atau memperkenalkan teknologi baharu, kerana tidak perlu bersaing dengan mana-mana syarikat lain.
"Mereka menjadi lebih dominan dan sering mewujudkan halangan untuk kemasukan pesaing berpotensi dan menyukarkan perniagaan baharu memasuki pasaran," katanya. - DagangNews.com