KUALA LUMPUR 5 Ogos - Kerajaan akan terus memastikan semua obligasi, perolehan dan perbelanjaan negara berkaitan dengan vaksin serta Program Imunisasi COVID Kebangsaan tetap dipenuhi dalam tempoh pasca Ordinan Darurat.
Ketika menegaskan perkara itu, Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, ini penting dalam menjamin kelangsungan pelaksanaan usaha pemberian vaksin untuk rakyat.
“Saya berharap semua pihak dapat bekerjasama dalam menjayakan PPN. Kita perlukan ‘whole of nation approach’ (pendekatan membabitkan semua pihak) yang mana selain kerajaan, pihak lain seperti sektor swasta dan rakyat juga mempunyai peranan masing-masing,” katanya dalam program temu bual Agenda Awani terbitan Astro Awani mengenai perkembangan mengenai pemulihan negara, malam tadi, lapor Bernama.
Menurut Tengku Zafrul, kerajaan juga sedang berbincang di peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan PPN mengenai kemungkinan membuka sektor-sektor ekonomi untuk rakyat yang mendapat vaksinasi lengkap.
Beliau berkata, perbincangan itu lebih menumpukan sektor-sektor yang dilihat sebagai selamat untuk dibuka berbanding sebaliknya pada Fasa Satu dan Dua apabila kadar suntikan vaksin rendah.
“PPN adalah satu pelan dinamik dan akan menggunakan data serta perkembangan terkini. Kita akan terus fokus kepada pembukaan ekonomi dan sosial yang selamat,” katanya.
Selain itu, beliau juga menekankan kepentingan aspek penyelarasan di antara semua kementerian dalam memastikan kejayaan PPN.
“Ini penting kerana semua kementerian dan jentera kerajaan perlu berdasarkan teras yang sama bagi menjayakan PPN. Kita perlu mengimbangi antara ekonomi dan kesihatan dalam tempoh yang singkat.
“Majlis Pemulihan Negara (MPN) adalah badan utama yang mempertimbang dan memutuskan strategi serta menyelaras tindakan-tindakan perlu diambil yang merentasi pelbagai kementerian.
"MPN ini dibantu oleh jawatankuasa teknikal yang mana di peringkat teknikal, kita bincangkan aspek nilai-nilai ambang secara lebih terperinci,” katanya.
Tengku Zafrul turut menggariskan tiga faktor utama bagi menjayakan PPN iaitu penyelarasan lebih kemas usaha-usaha antara kementerian terutama prosedur operasi standard (SOP), vaksinasi, kapasiti unit rawatan rapi serta sokongan fiskal dan bukan fiskal kerajaan.
“Faktor kedua adalah penglibatan pelbagai pihak termasuk pakar-pakar industri dan wakil-wakil negeri seperti Sabah dan Sarawak untuk berkongsi idea dan kepakaran. Ketiga membabitkan pemantauan rapat berdasarkan ‘live data’ (data masa nyata) yang lebih mantap dan berkesan,” kata beliau. - DagangNews.com