KUALA LUMPUR 27 Julai - Kerajaan akan memperuntukkan RM10 juta sebagai usaha untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja kepada 60% daripada 55.5% pada waktu ini bagi menjadikan Malaysia sejajar dengan ekonomi serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyertaan wanita masih di tahap rendah berbanding lelaki pada kadar 80.9% dan jurang itu perlu dikecilkan.
Beliau berkata, perlunya usaha tuntas dari aspek perundangan dan kawal selia serta program sokongan bagi menggalakkan para ibu untuk kembali bekerja.
"Sebagai satu daripada inisiatif Ekonomi Penjagaan (Care-Economy), pusat jagaan kanak-kanak mampu milik akan disediakan yang dilihat berupaya meningkatkan kadar penyertaan wanita di alam pekerjaan.
“Kerajaan juga akan memudah cara proses pendaftaran dan memperluas program pemutihan taska dan pusat penjagaan kanak-kanak yang belum berdaftar di seluruh negara dengan peruntukan RM10 juta,” katanya ketika ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, hari ini.
Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memperluas jaringan perlindungan sosial dengan tiga tunjang untuk melindungi rakyat sekiranya berlaku hal-hal tidak diingini.
Beliau berkata satu daripada tunjang berkenaan adalah pencegahan melalui insurans sosial yang mencadangkan agar liputan perlindungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ke atas populasi umur bekerja secara berperingkat mengikut fasa.
“Kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi tahun 2023 untuk menyediakan 80% geran bagi membiayai caruman Perkeso pekerja gig.
Bagaimanapun, menurut data KWSP lebih 40% tenaga buruh tidak mendapat perlindungan untuk simpanan,” katanya.
Beliau berkata, tunjang kedua pula adalah menambah baik kemampanan simpanan persaraan bagi memastikan tahap simpanan mencukupi untuk menampung kehidupan rakyat yang akan menempuh alam persaraan.
Satu lagi tunjang, katanya, adalah perlindungan melalui bantuan sosial dengan kerajaan akan meneruskan serta menambah baik pelbagai program bantuan tunai dan program Rahmah.
Beliau berkata, kerajaan juga akan terus mengukuhkan sistem insurans pekerjaan serta program latihan semula bagi menyediakan penganggur dengan pekerjaan selaras dengan peralihan daripada melindungi pekerjaan kepada melindungi pekerja dalam konteks ekonomi yang cepat berubah. - DagangNews.com