Kereta elektrik: Mampukah rakyat Malaysia? | DagangNews Skip to main content

Kereta elektrik: Mampukah rakyat Malaysia?

Kenderaan elektrik (EV). Gambar hiasan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

Sektor automotif melalui beberapa fasa membimbangkan sejak negara 'diserang' ancaman wabak COVID-19.

 

Kehadiran wabak tersebut secara tidak langsung meletakkan sektor automotif dalam kelompok berisiko yang mengheret kepada penurunan jumlah jualan.

 

Menjelang April 2020, prestasi jualan kenderaan lebih mendukacitakan apabila jatuh hampir 100% susulan pelaksanaan PKP sejak bulan sebelumnya.

 

Situasi tersebut menyaksikan hanya 141 unit kereta berjaya dijual dan didaftarkan pada bulan berkenaan.

 

Fasa 'turun-naik' industri tersebut tahun lalu menjadikan jumlah keseluruhan industri (TIV) 2020 menurun 12.4% iaitu kepada 529,234 unit kenderaan berbanding 604,281 pada 2019.

 

Bagi 2021 pula, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyasarkan untuk mencapai TIV sebanyak 570,000.

 

Sementara itu, Maybank IB Research dan CGS-CIMB Research meletakkan sasaran TIV sebanyak 580,000 hingga 600,000.

 

Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad berkata, jumlah sasaran TIV pada 2021 itu masih dikekalkan hingga hari ini meskipun beberapa model kenderaan baharu dilancarkan.

 

Datuk Aishah Ahmad
Datuk Aishah Ahmad

 

"Sasaran TIV 2021 masih dikekalkan sebanyak 570,000 setakat ini. Jumlah yang disasarkan ini juga sebenarnya telah mengambil kira pelancaran model-model kenderaan baharu untuk 2021.

 

"Dan seperti biasa, pelancaran model-model kenderaan baharu akan menarik minat orang ramai untuk membeli. Kita juga harapkan model tersebut dapat dikeluarkan dalam jumlah yang mencukupi," katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.

 

Hakikatnya, sektor automotif negara turut diselubungi cabaran dalam segmen kenderaan elektrik (EV).

 

Maybank IB Research dalam nota kajiannya minggu lalu memberitahu, Malaysia ketinggalan berbanding negara-negara ASEAN lain dalam segmen kenderaan elektrik.

 

.

 

Nota kajian tersebut menyatakan bahawa fokus dasar automotif negara (NAP) masih 'kabur' dalam perancangan kenderaan elektrik termasuk aspek pelaburan dan insentif.

 

Malaysia dan Filipina sebahagian besar masih memberi fokus kepada kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE).

 

Perkara tersebut secara tidak langsung meletakkan Malaysia terkebelakang berbanding negara serantau lain.

 

Sementara itu, Thailand muncul sebagai negara paling agresif menumpukan segmen kenderaan elektrik bagi negara ASEAN.

 

Ia seiring dengan hasrat negara tersebut untuk muncul sebagai hab kenderaan elektrik di ASEAN menjelang 2025.

 

Baca: Malaysia ketinggalan dalam segmen kereta elektrik

 

Mengulas perkara itu, Aishah berkata, segmen kenderaan elektrik pada hakikatnya mempunyai dua isu utama dalam pelaksanaannya iaitu infrastruktur dan isu harga.

 

Ujarnya, NAP 2020 banyak memberi fokus kepada kenderaan elektrik tanpa menyediakan perkara lain seperti infrastruktur.

 

"Pada saya, NAP 2020 banyak fokus tertumpu kepada kenderaan elektrik. Namun, perkara lanjut berkaitan infrastrukur belum ada, charging statik perlu ada terlebih dahulu. Bukan kereta elektrik keluar baru nak tingkatkan infrastruktur.

 

"Selain infrastruktur, harga turut menjadi isu utama kerana kenderaan elektrik ni mahal, terlalu mahal. Hampir 50% lebih tinggi, siapa yang mampu beli? 

 

"Kita perlu tengok dahulu harga dan subsidi/insentif yang lebih lanjut daripada kerajaan berkaitan kenderaan elektrik ini," ujar beliau lagi.

 

.

 

Dalam pada itu, jenama kenderaan antarabangsa, Audi turut menaruh harapan tinggi terhadap teknologi konvensional enjin pembakaran dalaman.

 

Ketua Pegawai Eksekutif R&D Audi, Markus Duesmann dalam portal Careta.my menjelaskan, meskipun turut memperkenalkan produk kenderaan elektrik, teknologi enjin pembakaran dalaman (ICE) masih lagi mempunyai masa hadapan yang cerah.

 

Malah, enjin diesel (yang pernah mendatangkan masalah kepada mereka suatu ketika dahulu) sebenarnya adalah jauh lebih efisien berbanding enjin-enjin lain.

 

"Bagaimanapun 'kematian' teknologi ICE tertakluk kepada keputusan politik, dan ia tidak akan berlaku secara serentak di seluruh dunia.

 

"Tidak dapat dinafikan, kereta elektrik merupakan masa hadapan industri automotif," jelas beliau. - DagangNews.com