KUALA LUMPUR 13 Julai - Selain terkenal sebagai syarikat penerbangan tambah murah negara, AirAsia turut menjalin kerjasama baharu dengan Ormond Group menerusi tawaran penjimatan sepanjang tahun hingga 50%.
Pakej yang ditawarkan bersama Hotel Bundle Deals itu adalah usaha menyokong permintaan tempatan sekali gus merancakkan semula perjalanan di peringkat domestik.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia.com, Karen Chan berkata, peningkatan permintaan dalam sektor pelancongan jelas mendorong para pengguna untuk mencari pelbagai tawaran hebat.
"Kami juga telah berkerjasama dengan pengusaha hotel tempatan untuk menambah permintaan perjalanan melalui SNAP iaitu platform tempahan penerbangan dan penginapan kami. Dan kerjasama bersama Ormond Group untuk tawaran berserta hotel sebagai tambahan kepada inisiatif berkenaan.
"Tawaran ini juga dijangka terus memacu pelancongan domestik susulan pelancaran Pas Tanpa Had AirAsia yang dapat sambutan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ormond Group merupakan antara penggiat industri hospitaliti dengan visinya untuk mencipta pengalaman positif yang mempengaruhi cara hidup, pekerjaan dan penginapan.
Terdahulu, AirAsia turut menjalin kerjasama dengan Ormand Group dalam usaha menyediakan penginapan percuma kepada petugas barisan hadapan Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebagai penghargaan membendung penularan wabak COVID-19.
Jelas beliau lagi, tawaran yang disediakan itu adalah termasuk pakej 'Domestic Frequent Traveller' pada harga RM499, pakej 'The Chow Kit Den' pada harga RM699; pakej 'The Chow Kit Suite' berharga RM799 serta pakej 'Tune KLIA2 Frequent Flyer' dengan harga RM899.
"Semua ini boleh ditempah melalui airasia.com/deals atau menerusi aplikasi mudah alih AirAsia mulai sekarang hingga 30 September 2020, dan penginapan hotel pula boleh ditebus hingga 30 Jun 2021," katanya lagi. - DagangNews.com