Kerjasama Bank Islam, SME Corp diperkukuh, tingkat daya saing PKS | DagangNews Skip to main content

Kerjasama Bank Islam, SME Corp diperkukuh, tingkat daya saing PKS

Ketua Pegawai Perniagaan Bank Islam, Mizan Masram  (dari kiri, duduk) dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Rizal Nainy menandatangani MoU tersebut sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam (tengah), Mohd Muazzam Mohamed dan Pengerusi SME Corp., Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee. Turut hadir ialah Ketua Perbankan PKS Bank Islam (kiri) Rizal Yusof dan Ketua Pegawai Operasi SME Corp., Sharifah Najwa Syed Abu Bakar (kanan).

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Bank Islam Malaysia Berhad memperkukuh kerjasama strategik dengan SME Corporation Malaysia (SME Corp) bagi membantu meningkatkan daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Menerusi kerjasama ini, kedua-dua pihak akan memberikan akses kepada PKS untuk menyertai pelbagai inisiatif, program latihan, penganugerahan dan sumber daya lain, serta produk dan perkhidmatan kewangan menyeluruh yang akan meningkatkan kapasiti dan keupayaan mereka dalam pasaran kompetitif.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, kerjasama terbaharu ini akan memberi manfaat kepada pelanggan PKS Bank Islam untuk menyertai Skim Pembiayaan PKS Patuh Syariah (SSFS).

 

Katanya, kerajaan, menerusi SME Corp telah memperuntukkan rebat keuntungan 2% kepada pembiayaan PKS, berjumlah RM4 bilion di bawah inisiatif berkenaan. 

 

"Sejak skim pembiayaan ini dimulakan pada 2013, Bank Islam telah menyokong 121 pelanggan PKS dengan nilai pembiayaan berjumlah lebih RM133 juta.

 

"Dengan penawaran komprehensif yang memberi manfaat kepada PKS, kami berhasrat untuk meningkatkan jumlah ini susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) ini," katanya.

 

Beliau menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut antara Ketua Pegawai Perniagaan Bank Islam, Mizan Masram dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy yang diadakan secara maya hari ini bersama Pengerusi SME Corp., Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee.

 

Turut hadir, Ketua Perbankan PKS Bank Islam, Rizal Yusof dan Sharifah Najwa Syed Abu Bakar, Ketua Pegawai Operasi SME Corp., Sharifah Najwa Syed Abu Bakar.

 

Sebagai nilai tambah untuk kerjasama strategik ini, Bank Islam juga akan memperluas rangkaian produk dan perkhidmatan patuh syariah untuk memenuhi pelbagai keperluan pelanggan. 

 

Ini termasuklah keperluan modal kerja dan perbelanjaan modal, pembiayaan perdagangan, kemudahan bantuan kewangan, bancatakaful, pengurusan tunai dan penyelesaian perbankan elektronik.

 

Sementara itu, Syed Hussien berkata, kerjasama strategik ini adalah sebahagian daripada usaha proaktif untuk memberi peluang perniagaan kepada PKS yang layak di Malaysia.

 

“Dengan memanfaatkan platform niaga-ke-niaga (B2B) yang ditawarkan oleh Bank Islam serta sokongan pembiayaan yang dinyatakan dalam MoU, kami berharap inisiatif berkaitan dapat membantu PKS untuk mengekalkan perniagaan mereka, terutama pada masa yang mencabar ini," katanya. 

 

Secara dasarnya, Bank Islam telah lama menjalin usaha sama dengan SME Corp. sejak 2013 lagi dengan menyediakan penyelesaian kewangan Islam sambil menyokong pelbagai program yang dimulakan oleh Agensi Penyelaras Pusat yang terletak di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. - DagangNews.com