Kerjasama digital 'Microsoft Bersama Malaysia' bernilai RM4 bilion | DagangNews Skip to main content

Kerjasama digital 'Microsoft Bersama Malaysia' bernilai RM4 bilion

'Microsoft Bersama Malaysia'

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 April - Kerjasama digital antara Microsoft Corporation (Microsoft) dengan Malaysia di bawah inisiatif 'Microsoft Bersama Malaysia' bernilai AS$1 bilion atau RM4 bilion bagi tempoh lima tahun.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, inisiatif digital tersebut meliputi pembukaan data serantau pertama di Malaysia serta usaha untuk memanfaatkan data raya.

 

Katanya, pembukaan pusat data serantau pertamanya di Malaysia pada asasnya merangkumi beberapa pusat data untuk menguruskan data dari pelbagai negara.

 

"Saya difahamkan bahawa tempias daripada pelaburan pusat data serantau ini mungkin diterjemahkan kepada penjanaan hasil berjumlah AS$6.9 (RM28.3) dalam ekosistem awan untuk setiap hasil AS$1 (RM4.2) yang dijana oleh Microsoft Malaysia daripada awan menjelang 2024.

 

"Dianggarkan bahawa inisiatif ini akan membantu mencipta 19,000 pekerjaan termasuk 4,000 pekerjaan berkaitan IT dalam kalangan pengguna awan," katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam ucapan pelancaran inisiatif digital 'Microsoft Bersama Malaysia' di Putrajaya hari ini.

 

Turut hadir, Naib Presiden Eksekutif dan Presiden Jualan, Pemasaran dan Operasi Global Microsoft, Jean Philippe Courtois dan Pengarah Urusan Microsoft Malaysia Sdn. Bhd., K. Raman.

 

Mengulas berkaitan dengan memanfaatkan data raya, beliau memberitahu, Malaysia memerlukan tunjang yang melibatkan bukan sahaja keterhubungan dan simpanan data tetapi juga tenaga kerja yang mahir dalam bidang sains data.

 

Oleh demikian, beliau amat mengalu-alukan pelbagai kerjasama awam-swasta yang dibentuk oleh Microsoft dan rakan-rakan kerjasamanya termasuk Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), Petronas, Celcom dan Grab.

 

"Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Microsoft Bersama Malaysia, saya juga difahamkan oleh Microsoft bahawa kerjasama ini akan membantu memahirkan sehingga satu juta rakyat Malaysia (di pelbagai peringkat) menjelang akhir 2023. 

 

"Saya harap kejayaan kerjasama ini akan menjadi teladan yang membantu merapatkan jurang digital dan memperkasakan setiap rakyat Malaysia menerusi penggunaan teknologi.

 

"Ini adalah sejajar dengan peranan yang bakal dimainkan oleh pendigitalan sebagai pemangkin jangka sederhana dan panjang yang penting dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) akan datang dan juga Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030)," ujar beliau lagi.

 

Muhyiddin turut berbesar hati mengalu-alukan komitmen global Microsoft untuk bertukar 100% kepada tenaga boleh diperbaharui menjelang 2025 bagi semua pusat datanya termasuk di Malaysia.

 

Menyentuh lanjut berkaitan kerjasama berkenaan, beliau berharap ia menjadi langkah pertama kepada pelaburan lebih besar yang bakal dibuat di Malaysia oleh Microsoft dan peserta lain dalam bidang data.

 

Pelaburan yang besar oleh Microsoft menguatkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab data serantau yang berpotensi tinggi sekali gus menambah nilai Malaysia dalam bidang data raya. - DagangNews.com