Kerjasama hospital awam, swasta telah bermula | DagangNews Skip to main content

Kerjasama hospital awam, swasta telah bermula

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Seperti diumumkan dalam Proklamasi Darurat pada bulan lalu, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 membenarkan penyumberluaran sementara kemudahan kesihatan swasta oleh kerajaan. 

 

Buat masa ini, kerajaan telah memulakan kerjasama dengan pihak penyedia perkhidmatan perubatan swasta untuk menggunakan hospital, klinik, makmal, kepakaran, perkhidmatan dan sumber manusia bertujuan meringankan beban yang ditanggung oleh Kementerian Kesihatan (KKM). 

 

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, KKM telah mula bekerjasama dengan 31 hospital swasta untuk penyumberluaran rawatan sebahagian daripada pesakit bukan COVID-19 ke hospital-hospital swasta berkenaan. 

 

“KKM memperuntukkan sejumlah RM27 juta pada tahun 2021 bagi tujuan ini. Bagi pengurusan dan rawatan pesakit COVID-19 di hospital swasta, KKM telah mendapat kerjasama yang baik daripada hospital-hospital swasta di seluruh negara. 

 

“Setakat 3 Februari 2021, pihak hospital swasta bercadang menyediakan 1,344 katil di wad biasa dan 65 katil di wad unit rawatan rapi (ICU). Selain itu, kemudahan makmal kerajaan dan swata juga sedang digembleng untuk meningkatkan kapasiti pelaksanaan ujian saringan COVID-19. 

 

“Pada masa ini sebanyak 68 makmal kerajaan dan swasta di negara ini mempunyai kapasiti untuk melaksanakan 76,805 ujian saringan setiap hari. Kerajaan akan meningkatkan lagi keupayaan makmal kerajaan dan swasta untuk melaksanakan ujian saringan COVID-19,” katanya dalam perutusan khas di Facebook petang ini. 

 

Melalui Ordinan Darurat itu juga, kerajaan akan mula mengambil alih kemudahan-kemudahan bagi tujuan menambah pusat saringan COVID-19 dan pusat kuarantin.

 

Ujar Muhyiddin, bagi aktiviti penyumberluaran dan pengambilalihan ini, suatu bentuk pampasan akan diberikan kepada pemilik premis berdasarkan naziran penilaian oleh pihak kerajaan. 

 

Dalam pada itu, pengambilalihan sementara kem-kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Kem-kem Wawasan digunakan sebagai Pusat Tahanan dan Kuarantin Sementara Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan penjara sementara. 

 

“Ini adalah sebahagian daripada tindakan serta-merta kerajaan untuk mengurangkan kesesakan di depoh-depoh tahanan Jabatan Imigresen dan penjara yang secara langsung dapat mencegah penularan COVID-19 dalam kalangan tahanan. 

 

“Sebanyak 16 kem PLKN dan Kem Wawasan telah diambilalih secara sementara untuk tujuan ini. 

 

“Tindakan ini juga mampu mempertingkatkan penguatkuasaan kerajaan dalam mencegah kemasukan PATI ke negara ini yang juga menjadi antara punca penularan COVID-19 di negara kita,” katanya lanjut. - DagangNews.com