Kerjasama penghantaran pekerja mahir Malaysia ke Jepun dimuktamadkan - Saravanan | DagangNews Skip to main content

Kerjasama penghantaran pekerja mahir Malaysia ke Jepun dimuktamadkan - Saravanan

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Fumio Kishida menyaksikan pertukaran perjanjian antara M. Saravanan dengan Yoshihisa Furukawa pada 26 Mei 2022 di Tokyo, Jepun.

TOKYO 28 Mei - Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravan telah memuktamadkan Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Menteri Kehakiman Jepun, Yoshihisa Furukawa pada 26 Mei 2022 bagi penghantaran pekerja mahir Malaysia untuk bekerja di Jepun.

 

Susulan daripada itu, pertukaran dokumen MoC ini telah disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida pada 27 Mei 2022.

 

Menurut Saravan, satu Jawatankuasa Bersama (Joint Committee) akan ditubuhkan dan dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan MoC ini kelak.

 

Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia akan menerajui Jawatankuasa Bersama ini bagi pihak Malaysia.

 

''MoC ini akan bertindak sebagai satu platform terbaik bagi pekerja mahir Malaysia yang berkelayakan untuk bekerja dalam ekosistem pekerjaan berteraskan teknologi maju di Jepun.

 

''Melalui pendedahan dan pengalaman yang diperoleh, pekerja Malaysia berpeluang meneroka pelbagai cabang teknologi yang menjadi nadi utama kemajuan sektor industri di Jepun dan seterusnya berupaya membawa pulang kemahiran yang dipelajari serta budaya kerja masyarakat Jepun ke Malaysia selepas tamat tempoh pekerjaan mereka di sana,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Selain itu kata Saravanan, Jepun dikenal pasti sebagai sebuah negara yang menawarkan kadar upah tinggi kepada pekerja berkemahiran.

 

Oleh itu ujarnya, pekerja mahir Malaysia yang menyertai program ini berupaya menjana pendapatan yang lebih tinggi sekaligus meningkatkan tahap sosio ekonomi mereka.

 

Malah kata beliau., pengalaman kerja di Jepun juga mampu meningkatkan kebolehpasaran guna tenaga Malaysia.

 

 

saravanan

 

 

''Pemeteraian MoC ini juga akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sumber bagi membekalkan pekerja-pekerja berkemahiran ke negara-negara
maju.

 

''Walau bagaimanapun, pekerja-pekerja berkemahiran tempatan hanya akan bekerja di Jepun untuk tempoh masa tertentu sebelum mereka kembali ke Malaysia dengan kemahiran serta pengalaman yang diperoleh untuk menyumbang kepada pembangunan negara kelak,'' kata Saravanan. - DagangNews.com