Kerjasama Perdim-Malaysian Genomics tingkatkan penggunaan saringan genetik | DagangNews Skip to main content

Kerjasama Perdim-Malaysian Genomics tingkatkan penggunaan saringan genetik

Perdim-Malaysian Genomics

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 April - Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim) dengan kerjasama Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (Malaysian Genomics) melancarkan kursus untuk ahlinya dalam penggunaan saringan genetik bagi rawatan pencegahan.

 

Melalui ‘Kursus Intensif Nutrigenomik Lanjutan’ yang dijalankan selama dua hari, para klinisian berpeluang untuk belajar cara memanfaatkan keberkesanan pemeriksaan genetik seiring dengan ujian patologi konvensional untuk membina gambaran yang lebih lengkap mengenai kesihatan pesakit.

 

Presiden Perdim, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, program berkenaan dibangunkan berikutan peningkatan permintaan untuk rawatan pencegahan dan pemeriksaan genetik daripada ahli mahupun pesakit.

 

"Kami percaya bahawa saringan genetik boleh memainkan peranan yang semakin penting dalam penjagaan rutin, termasuk penjagaan pencegahan untuk pesakit yang sihat," katanya dalam satu kenyataan.

 

Perdim mempunyai lebih daripada 1,000 ahli doktor-doktor beragama Islam di seluruh negara.

 

Ditubuhkan pada tahun 2012, Perdim bertujuan untuk menghubungkan pengamal perubatan am Islam melalui jaringan profesional dan sosial, serta memperkasakan aktiviti sosioekonomi ahli-ahlinya.

 

Sementara itu, Naib Presiden Perdim, Dr. Wan Julia Sham Datuk Ariffin memberitahu, pihaknya ingin membantu para klinisian memahami ujian saringan genetik yang sesuai untuk pesakit dan bagaimana keputusan ujian tersebut boleh diintegrasikan ke dalam pelan saringan atau intervensi yang diperibadikan.

 

"Kami berasa sukacita kerana telah menemui rakan kongsi yang berpandangan sama dengan kami untuk program ini iaitu Malaysian Genomics, yang telah menyediakan perkhidmatan genomik sejak tahun 2004 dan saringan genetik sejak tahun 2012," katanya.

 

Mengulas berkaitan kerjasama tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Genomics, Sasha Nordin 
berkata, Perdim memainkan peranan penting dalam mewujudkan model untuk menggunakan saringan genetik dalam penjagaan klinikal terutamanya dalam penjagaan pencegahan penyakit tidak berjangkit. 

 

‘Noncommunicable diseases’ atau NCD menjadi punca kematian terbesar di seluruh dunia yang terdiri daripada penyakit kardiovaskular, kanser, penyakit pernafasan kronik dan kencing manis. - DagangNews.com