NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 16 Nov - Selepas mengadakan jalinan antarabangsa bersama agensi sukan dari Australia, Ghazoo Sports, Februari lalu, Kerteh FC menggandakan usaha mengukuhkan jenama mereka dengan melancarkan beras premium Super Import Cap Buah-Buahan dengan kerjasama Yacob Tahir Enterprise Sdn. Bhd., hari ini.
Menerusi jalinan kerjasama itu, logo, warna rasmi dan elemen-elemen kelab bukan sahaja berada pada plastik pembungkusan beras tetapi akan diletakkan pada kenderaan pengangkutan syarikat bagi tujuan komersial manakala Kerteh FC akan menggunakan logo beras Cap Buah-Buahan pada lengan jersi utama mereka.
Presiden Kerteh FC, Mohd. Razeman Mat Nashim berharap, kerjasama itu akan terus dipertingkatkan pada masa akan datang kerana syarikat itu bukan sahaja terlibat dengan pengeluaran beras malahan barang asas lain untuk orang ramai.
"Memanfaatkan pemasaran melalui medium sukan bola sepak kini telah menjadi satu trend baharu kepada Industri Kecil dan Serdahana (IKS) di dalam negara ketika ini.
"Kami percaya hubungan keusahawanan dan perniagaan dalam industri sukan dapat membuka jalan yang lebih luas kepada mana-mana IKS dalam mengembangkan perniagaan mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yacob Tahir Enterprise Sdn. Bhd., Mohamad Adam Suffian Yacob percaya kekuatan jenama Kerteh FC mempunyai nilai komersial untuk mengetengahkan produknya kerana mereka adalah pasukan bola sepak komuniti yang sedang mencipta nama.
"Dengan kerjasama bersama Kerteh FC ini, ia dapat menambahkan lagi keyakinan kami bahawa kerjasama ini akan membawa jenama beras kami ke pasaran yang lebih luas capaiannya selepas ini," katanya.-Dagangnews.com