KUALA LUMPUR 14 Ogos - Kerugian bersih NovelPlus Technology Berhad menyusut kepada RM155,000 bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) berbanding RM227,000 bagi suku sama tahun lalu.
Kumpulan itu berkata, penyusutan kerugian itu disumbangkan oleh pengurangan dalam perbelanjaan pemasaran untuk promosi melalui platform media sosial, serta pengurangan dalam pengiktirafan liabiliti cukai tertunda.
Mereka mencatatkan hasil sebanyak RM1.95 juta bagi tempoh semasa dengan RM1.88 juta atau kira-kira 96.4% diraih daripada penyediaan perkhidmatan bacaan dalam talian manakala pengiklanan dan lain-lain menyumbang kira-kira RM70,000 atau lebih kurang 3.6%.
"Prestasi kewangan kumpulan bergantung kepada bilangan pelanggan pelan langganannya melalui penggunaan platform bacaan dan penulisan sosial dalam talian.
"Sebarang faktor yang menjejaskan pendapatan boleh guna pelanggan boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk membayar yuran langganan dan keupayaan kumpulan untuk menarik pelanggan baharu," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
NovelPlus mempunyai kandungan e-buku yang luas dengan lebih 52,000 novel diterbitkan kebanyakannya dalam Bahasa Melayu (biasa digunakan di Malaysia) dan Bahasa Indonesia (biasa digunakan di Indonesia).
Kumpulan menyasarkan pangkalan pengguna yang terletak terutamanya di Asia Tenggara yang celik sama ada dalam satu atau semua bahasa ini (Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand).
"Pasaran e-buku didorong oleh percambahan peranti mudah alih dan pertumbuhan dalam penembusan internet, inisiatif alam sekitar untuk mengurangkan penggunaan kertas serta pelbagai inisiatif kerajaan untuk menggalakkan tabiat membaca di Asia Tenggara.
"Lembaga Pengarah berpandangan bahawa pasaran e-buku akan terus berkembang dalam tempoh terdekat memandangkan lebih ramai orang sudah terbiasa dengan bahan bacaan dalam talian.
"Peningkatan ekonomi di Asia Tenggara juga akan menjadi petanda baik bagi pertumbuhan pasaran e-buku," katanya. - DagangNews.com