Kerugian Serba Dinamik Q2 melebar kepada RM251.54 juta akibat penamatan kontrak, henti operasi | DagangNews Skip to main content

Kerugian Serba Dinamik Q2 melebar kepada RM251.54 juta akibat penamatan kontrak, henti operasi

KUALA LUMPUR 1 Mac - Kerugian bersih Serba Dinamik Holdings Bhd meningkat kepada RM251.54 juta pada suku kedua berakhir 31 Dis, 2023 (Q2 FY2024) daripada RM89.67 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

 

Penyedia perkhidmatan minyak dan gas (O&G) yang mengalami masalah kewangan itu berkata, ini diheret oleh sifar hasil daripada segmen kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam tempoh itu, terutamanya disebabkan oleh penamatan kontrak dan berhenti operasi di beberapa anak syarikat kumpulan itu.

 

Syarikat Nota Amalan 17 (PN17) berkata pendapatannya menyusut kepada RM13.83 juta pada Q2 FY2024 daripada RM105.80 juta sebelumnya.

 

"Segmen operasi dan penyelenggaraan (O&M) kekal sebagai penyumbang hasil tertinggi kepada hasil kumpulan, menjana 74.3 peratus daripada jumlah hasil, manakala segmen pendidikan dan latihan menjana baki 25.7 peratus daripada jumlah hasil," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

 

serba dinamik

 

 

Bagi enam bulan terkumpul berakhir 31 Dis 2023, Serba Dinamik menyaksikan kerugian bersihnya meningkat kepada RM336.24 juta berbanding RM194.27 juta sebelumnya, manakala hasil susut kepada RM28.03 juta daripada RM319.38 juta sebelumnya.

 

Melangkah ke hadapan, ia berkata lembaga pengarah menjangkakan operasi kumpulan itu akan kekal mencabar berikutan ketidaktentuan ekonomi global, serta cabaran semasa yang dihadapi syarikat dari perspektif kecairan.

 

“Kumpulan itu berpendapat bahawa segmen O&M akan kekal sebagai kecekapan terasnya dan menyediakan asas operasinya.

 

“Dengan kumpulan itu diklasifikasikan sebagai syarikat PN17, lembaga itu berjanji untuk menyelesaikan isu yang sedang berjalan, termasuk pelan penstrukturan dan penyusunan semula, demi kepentingan terbaik pihak berkepentingan,” katanya. - DagangNews.com